Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter manakala harga runcit RON95 dan diesel kekal, masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 20 hingga 26 Mei.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu petrol RON97 bermula esok ialah RM2.61 seliter.

Menurut kenyataan itu, harga berkenaan adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat melebihi harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, jelasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 serta diesel, masing-masing kekal RM2.05, RM2.60 serta RM2.15 seliter bagi tempoh esok sehingga 19 Mei ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter,” menurut kementerian itu hari ini.

Sungguhpun begitu harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

– BERNAMA