Categories
AGENDA NASIONAL

Peluang kerja terhad, dorong OKU penglihatan mengemis

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Limitasi peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan hasil kegiatan mengemis merupakan antara punca golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan memilih kegiatan ‘simpati jalanan’ dengan menjadi pengemis bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata aktiviti itu semakin rancak sejak kebelakangan ini terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan peluang pekerjaan terhad ditawarkan majikan.

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila golongan OKU penglihatan sudah biasa menerima wang dengan meraih belas ihsan khalayak umum secara mudah meskipun pelbagai sesi kaunseling dan dialog telah dilakukan oleh pihak MAB bersama golongan itu untuk membendung kegiatan berkenaan.

“Apabila mereka sudah merasai pendapatan lumayan hasil kutipan derma awam, mereka secara tidak langsung menjadi sukar untuk berhenti (daripada mengemis) sebaliknya meneruskan kegiatan itu. Kita di peringkat persatuan ingin menghalang generasi muda golongan itu daripada terjerumus ke kancah mengemis. MAB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sangat tidak menggalakkan mereka untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Laporan Bernama pada Rabu mendedahkan tiada penglibatan sindiket dalam aktiviti mengemis di sekitar Lembah Klang sebaliknya pengemis melakukan pekerjaan itu demi kelangsungan hidup termasuk golongan OKU penglihatan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, George turut menafikan tanggapan masyarakat bahawa kegiatan itu dipercayai diatur gerak oleh sindiket tertentu, sebaliknya ia dilakukan atas kehendak golongan itu sendiri sebagai punca pendapatan.

Beliau berkata siasatan yang dilakukan oleh MAB dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan mendapati rata-rata mereka yang terlibat akan mengupah seorang jurupandu, kebiasaannya warga asing untuk menemani mereka menjalankan kegiatan itu dengan menaiki kenderaan e-hailing ke lokasi-lokasi tertentu.

George yang telah berkecimpung dalam bidang pengurusan golongan OKU penglihatan sejak 1986 berkata walaupun pelbagai inisiatif dan latihan kemahiran diberikan pihaknya kepada golongan berkenaan, namun limitasi keupayaan mereka menimbulkan persepsi kepada majikan untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

“Dengan adanya aplikasi moden seperti Seeing A.I (Kecerdasan buatan) dan Speech-To-Text yang boleh dimuat turun dengan mudah, golongan ini juga boleh melakukan kerja seperti individu biasa. Kita perlu cari satu alternatif untuk beri peluang pekerjaan kepada mereka.

“Saya berharap kerajaan memenuhi dasar satu peratus pekerja OKU di dalam sektor awam kerana setakat ini hanya 0.3 peratus sahaja daripada jumlah golongan itu diambil kerja dalam sektor awam dalam negara,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Presiden OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi tidak menafikan bahawa peluang pekerjaan bagi golongan OKU kini berada di tahap yang membimbangkan khususnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak beberapa tahun lepas.

Beliau yang Ahli Dewan Negara mewakili OKU itu turut berkongsi pengalamannya berdepan cabaran sama apabila beliau tidak mempunyai pekerjaan selama enam tahun selepas disahkan lumpuh separuh badan pada 2002 akibat kemalangan jalan raya pada 1996, meskipun mempunyai pengalaman dalam dunia kewartawanan.

“Ketika ini OKU memang susah untuk mencari kerja, sebenarnya isu ini sudah berlaku sejak tahun-tahun sebelum itu lagi, namun ia menjadi semakin serius susulan pandemik. Walaupun kerajaan memastikan sebanyak satu peratus daripada agensinya mengambil OKU untuk bekerja, tetapi setakat ini hanya empat kementerian yang melepasi kadar satu peratus itu.

“Saya juga pergi ke kementerian-kementerian bertemu dengan menteri-menteri untuk memaklumkan dan mencadangkan beberapa perkara supaya kita berikan ruang dan peluang kepada OKU. Ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh dipandang remeh kerana OKU juga boleh menjana ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata syarikat sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut disaran agar memberi peluang kepada golongan OKU untuk diambil bekerja memandangkan golongan itu juga mempunyai kelulusan, kemahiran dan pengalaman setanding dengan individu normal.

Dalam pada itu, Ras Adiba yang juga Ahli Dewan Negara mewakili OKU menegaskan agar tiada pihak mengambil kesempatan mempersendakan golongan OKU penglihatan dengan menyamar sebagai buta dan menjual tisu untuk kepentingan diri.

Katanya, tindakan ini mampu membentuk tanggapan dan diskriminasi buruk masyarakat umum terhadap golongan itu.

“Jangan mempersendakan mereka. Sahabat-sahabat OKU penglihatan saya menjual tisu kerana mereka hanya lakukan kerja yang mereka mampu. Justeru, jangan ambil kesempatan dan meraih simpati jalanan seperti menjual tisu atau berlakon menjadi buta,” katanya.

– BERNAMA