Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat hadir Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Johor diwakili Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Selangor diwakili Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mesyuarat turut disertai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Seri Paduka diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing dan Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanam pokok Chempaka Kuning simbolik Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256 bermula hari ini dengan menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok Cempaka Kuning di perkarangan Istana Negara, sebagai simbolik mempengerusikan mesyuarat itu.

Upacara kali kedua penanaman pokok itu adalah atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kali pertama upacara itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 pada Oktober 2019 dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menanam pokok Merbau.

Terdahulu, sebelum upacara penanaman pokok, Sultan Nazrin turut berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama, Istana Negara.

Upacara simbolik penanaman pokok dan KKU pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Raja-Raja Melayu yang berangkat hadir pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256 yang bermula hari ini ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, petang ini dijadualkan berlangsung majlis santapan teh sempena memuliakan mesyuarat itu yang dianjurkan oleh Istana Negara di dewan serba guna yang akan dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama permaisuri-permaisuri.

– BERNAMA