Categories
NASIONAL

Malaysia Islamic Children Fair corak pemimpin masa hadapan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SERDANG, 27 JULAI: Malaysia Islamic Children Fair (MICF) anjuran Zurriyat Ventures Sdn Bhd bakal dianjurkan kali kelima sebagai landasan dalam membina kanak-kanak sebagai pemimpin masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurriyat Venture Sdn Bhd, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, MICF adalah acara tahunan, sejak 2013.

Katanya, ia cetusan idea sekumpulan ibu bapa yang mencari satu landasan perkembangan serta kemajuan kanak-kanak.

MICF (2)“Tahun ini, kita melakukan beberapa perubahan berbanding tahun lalu antaranya mengadakannya selama lima hari iaitu bermula semalam (26 Julai) sehingga 30 Julai ini kerana sebelum ini hanya tiga hari.

“Tahun ini juga kita berganding bahu dengan Pesta Buku Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) 2017 apabila terdapat 80 ‘booth’ daripada mereka dan 70 MICF,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran MICF 2017, di Dewan D, MAEPS Serdang, di sini, hari ini.

Lily berkata, lebih menarik pihaknya mengadakan beberapa pertandingan membabitkan 20 sekolah.

“Antara pertandingan yang diadakan ialah pertandingan bercerita kisah dari Al-Quran, pertandingan cabaran arkitek muda, pertandingan young muslim talent, pencarian muazzin muda dan pencarian solehah cilik,” katanya.