Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri, MJ Fatonah kerjasama tingkat sektor penternakan

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA SELANGOR, 19 DIS: Kerajaan Selangor akan menyegerakan kelulusan guna pakai tanah terbiar milik negeri bagi pembangunan sektor penternakan khusus untuk golongan belia.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Akademi Usahawan Ternak, MJ Fatonah Sdn Bhd dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan ternak dari kalangan belia Selangor.

“Ramai belia hari ini yang tiada pekerjaan. Saya minta Exco Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib meneliti dan memilih peserta belia dari desa untuk dilatih di akademi ini.

Program MB turun padang ke Kuala Selangor (16)“Kerajaan Negeri akan sentiasa mendukung usaha murni itu termasuk bantuan dan peruntukan bagi menjayakan hasrat ini,” katanya ketika melawat Ladang MJ Fatonah di kampung Teluk Penyamun dalam sesi turun padang ke daerah Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Zaidy dan Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan.

MJ Fatonah adalah akademi usahawan ternak yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia sebagai penyedia latihan penternakan.

Kursus yang dijalankan berbentuk ‘hand on’ dengan penumpuan yang lebih kepada latihan amali di ladang (70 peratus) berbanding teori (30 peratus).

Program MB turun padang ke Kuala Selangor (14)Sehingga kini, MJ Fatonah berjaya melatih 2,650 peserta dari seluruh Malaysia dan 70 peratus daripadanya kini bergelar usahawan ternak dengan pendapatan lebih RM3,000 sebulan serta meraih banyak kejayaan di peringkat negeri serta negara.

Akademi yang dibangunkan sepasang suami isteri itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Perdana Menteri 2014 di MAHA 2014, Serdang, baru-baru ini.

“Saya bertemu dengan MJ Fatonah di MAHA, baru-baru ini. Saya terpukau dan kagum, bagaimana kehebatan seorang wanita dan suaminya mampu menjayakan usaha seperti ini.

“Kalau MJ Fatonah boleh membina dan membangunkan usaha sebegini, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan membantu mengembangkan usaha penternak,” katanya.

Program MB turun padang ke Kuala Selangor (20)Mohamed Azmin berkata, usaha itu sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi negara yang diramal agak malap kesan dari ekonomi global menjelang 2015.

Tambahnya, isu kemiskinan tidak boleh selesai dengan bantuan kewangan seperti BR1M sahaja, bahkan golongan sasar terbabit perlu dilengkapkan dengan latihan dan kemahiran.

“Akademi MJ Fatonah sudah buktikan bahawa menerusi ilmu, latihan dan kemahiran, yang mana peserta boleh berdikari dengan pendapatan lumayan.

“Justeru, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk Kerajaan Negeri terlibat secara langsung dengan menghantar seramai mungkin belia Selangor untuk menjalani latihan,” katanya.

Pada lawatan itu juga, Mohamed Azmin turut menyampaikan Bantuan Ransangan Usahawan Peransang Selangor kepada 30 peserta Akademik Ternak MJ Fatonah bernilai Rm223,800 merangkumi peralatan, rumah perindukan dan makanan ternak.

-NFN-