Categories
AGENSI SELANGOR

Atlet terus berlatih, jurulatih digesa uji kecergasan secara maya

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor meminta semua atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) terus mengikuti modul latihan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember hadapan.

Pengarah eksekutifnya berkata jurulatih turut disaran membuat ujian kecergasan secara maya dan melaporkannya kepada MSN bagi memastikan atlet terus berada pada tahap kecergasan diperlukan.

“Tempoh PKPB bersambung empat minggu bermula esok memang menjejaskan persiapan atlet ke Sukma. Dua bulan tanpa latihan secara intensif akan mempengaruhi kemahiran atlet.

“Corak latihan juga telah diubah sesuai dengan tatacara operasi piawai (SOP) seperti menghadkan jumlah pelatih pada satu-satu masa dan latihan fizikal di kawasan terbuka,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau berkata MSN Selangor akan sentiasa akur dengan keputusan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan atlet dinasihatkan mematuhi SOP PKPB serta mengekalkan kecergasan dan menjaga pemakanan.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara susulan perintah kawalan tersebut.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara memaklumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka masih dibenarkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: Atlet disaran terus ikuti modul latihan sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menggesa semua atlet mengikuti modul latihan disediakan jurulatih masing-masing selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung hingga 9 November.

Pengarah eksekutifnya berkata disiplin memainkan peranan penting untuk atlet kekal cergas ketika ini dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Dengan penyambungan PKPB, atlet disarankan terus mengekalkan disiplin dengan patuh SOP dan menjaga kecergasan masing-masing di samping mengikuti program latihan individu ditetapkan jurulatih,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau berkata atlet turut dinasihatkan kekal di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting sepanjang tempoh PKPB.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara susulan perintah kawalan tersebut.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara memaklumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka masih dibenarkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mural #SelangorPower terima penyertaan 35 pelukis – MSN Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Seramai 35 pelukis menghantar penyertaan pertandingan mural #SelangorPower anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Pengarah eksekutifnya berkata penyertaan tersebut turut melibatkan 20 penuntut Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan peserta diminta menghantar contoh lukisan mural bertema Kecemerlangan Sukan, Atlet Dan Generasi Muda Selangor.

“Pertandingan ini antara lain bertujuan mencungkil bakat dan mengangkat potensi pelukis tempatan. Pemilihan ke peringkat akhir adalah terhad atas faktor ruangan dinding yang akan digunakan nanti,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini hari ini.

Pertandingan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 19 hingga 40 tahun dan tarikh tutup penyertaan pada 9 Oktober.

Peserta perlu menghantar idea lukisan mural bersaiz A4 (format PDF) berdasarkan skala mural berukuran 2.5 meter tinggi x 5 meter lebar ke e-mel [email protected].

Senarai 15 peserta terpilih ke peringkat akhir diumum pada 13 Oktober manakala pertandingan akhir bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober.

Pemenang hadiah pertama membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM600), keempat (RM400), tempat kelima hingga ke-10 (RM200) dan ke-11 hingga ke-15 (RM100).

Keterangan lanjut berkenaan syarat pertandingan dan penyertaan boleh layari www.msnselangor.gov.my atau imbas Kod QR yang tertera.

Categories
AGENSI SELANGOR

Atlet Sukma Selangor mula latihan penuh – Mohamad Nizam

SHAH ALAM, 11 JULAI: Semua atlet Selangor untuk Sukan Malaysia (Sukma) telah memulakan latihan penuh selepas tiga bulan tertangguh, kata pemangku pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet perlu bersedia melakukan sedikit perubahan dalam rutin latihan susulan peraturan ketat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pemulihan.

“Mereka perlu kembali fokus kepada latihan selepas terpaksa menjalani latihan di rumah masing-masing sejak 18 Mac lalu susulan penularan Covid-19.

“Latihan juga terikat dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dengan sebolehnya mengelakkan aktiviti bersentuhan. Selain itu semua pusat sukan atau latihan diarah menjalani proses dinyahkuman setiap kali selepas digunakan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kejohanan dan pertandingan sukan tanpa sentuhan seperti permotoran dan sukan acara perseorangan seperti badminton, tenis, gimnastik, papan anjal terjun dan catur dibenarkan mulai Rabu ini.

Kebenaran juga diberi kepada sukan tempur dan berpasukan seperti karate, silat, bola sepak, hoki dan ragbi untuk memulakan latihan bermula Rabu, diikuti menganjur kejohanan tempatan tanpa kehadiran penonton mulai 15 Ogos.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor memohon kepada MITI buka pusat sukan

SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai kelulusan membuka pusat latihan.

Pemangku pengarah eksekutifnya berkata sekurang-kurangnya 30 pusat sukan diperlukan bagi membolehkan semua 830 atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri dapat memulakan latihan penuh.

“Setakat ini beberapa pusat latihan telah dibuka dan kita akan sentiasa berhubung dengan MITI. Kita berharap ia dapat dibuka secara berperingkat.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran bagi kebanyakan aktiviti sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan tetapi kita kena patuh tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berharap kerajaan segera memberi kebenaran kepada atlet semua jenis sukan berlatih bagi mengelak prestasi terjejas kerana tempoh tiga bulan tanpa latihan khusus menjejaskan mereka dalam semua aspek biarpun berlatih sendiri.

Pada 7 Jun lalu kerajaan memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan, aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan dan berkumpulan sepanjang tempoh PKP Pemulihan.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.