Categories
NASIONAL

Azmin bangga anaknya berani lawan kezaliman

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyatakan rasa bangga terhadap keberanian anaknya ketika memberi keterangan berkenaan perhimpunan BERSIH 4.0 kepada pihak polis.

Beliau berkata, meskipun baru berusia 15 tahun, Mohamed Basheer berani menyatakan kebenaran dan bertekad menentang kezaliman.

MB Azmin“Saya bersyukur dan bangga kerana walaupun usianya masih muda, Basheer berani menyatakan kebenaran di hadapan Inspektor Hasrul dan bertekad untuk bersama menentang kezaliman.

“Saya yakin inilah benih yang kita semai sejak Reformasi dan bakal menjadi agen perubahan di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

BASHEER IPD DANG WANGITerdahulu, Mohd Basheer dan isteri Mohamed Azmin, Shamshida Taharin dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dan beberapa pemimpin pembangkang lain turut dipanggil memberikan keterangan kerana menyertai BERSIH 4.0.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memuji gerakan anak muda yang berani melangkah ke hadapan demi keadilan rakyat.

Beliau mengambil contoh dua pemimpin muda, Exco Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang memiliki ketokohan tinggi.

“Tatkala laungan Reformasi bergema di jalan raya di seluruh pelusuk negara pada 1998, Nik Nazmi dan Dr Afif masih di bangku sekolah.

“Gerakan rakyat itulah mendorong kedua-dua anak muda ini untuk melangkah berani memimpin gerakan anak muda ke medan jihad melawan kezaliman dan kebobrokan,” katanya.

-nR-