Categories
AGENDA NASIONAL

Keluar notis 48 jam jika Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan disaran mengeluarkan notis 48 jam sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan sekiranya ia mahu dilanjutkan, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata kerajaan juga perlu tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja ingkar perintah yang dikuatkuasakan esok.

“Aspek kesihatan dan nyawa rakyat lebih bernilai daripada kerugian wang ringgit yang bakal dialami beberapa pihak hasil penutupan sektor dan premis perniagaan susulan penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut peruntukan Seksyen 11(4) Akta 342 dan Seksyen 24(a) akta sama, individu yang ingkar larangan tersebut boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu hingga 31 Mac .

Perintah kawalan 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Muhyiddin berkata, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.