Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Fitri positif hadapi pusingan ketiga

SHAH ALAM, 1 MEI: Mohd Fitri Ashraff Razali berdepan tugas baharu apabila bakal menggalas dua tanggungjawab utama pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada Jumaat dan Sabtu ini.

Selain beraksi dalam kategori CP150 bersama pasukan Cilik RCB Motorsport, pelumba itu juga kini bertindak sebagai pengurus pasukan FAR MMB Junior Team yang beraksi dalam kategori Wira.

Walaupun akui bukan mudah menggalas dua tugas pada satu masa, Fitri berkata, berbekal pengalaman sebagai pelumba selama ini, beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawab tanpa menjejaskan aksinya dalam kelas perdana.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah sebagai pelumba kerana mempunyai ahli pasukan yang berpengalaman. Mereka mampu menyediakan jentera yang kompetitif dan ia terbukti pada pusingan lalu apabila saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Selain itu, rakan sepasukan, Rozaiman Said dan Sharifuddin Shamsuddin juga sudah lama terbabit dengan Cub Prix, jadi pengalaman mereka turut membantu pasukan untuk mempersiapkan jentera terbaik untuk kami, cuma nasib Rozaiman tidak begitu baik kerana mengalami sedikit masalah teknikal dan belum berada pada tahap terbaik,” katanya.

Menjelaskan berhubung tanggungjawab sebagai pengurus pasukan, Fitri berkata, beliau sukakan tugasan itu kerana dapat menyumbang tenaga untuk membimbing pelumba muda.

“Kalau diperhatikan dalam barisan pasukan di Cub Prix, saya adalah antara pengurus termuda yang ada dan tidak ramai pelumba yang menjadi pengurus ketika mereka masih berlumba.

“Saya jadikan tugas ini sebagai satu cabaran besar dan sebagai persediaan untuk masa akan datang,” kata pelumba 25 tahun itu.

Categories
SELANGOR

Mohd Fitri juara perlumbaan CP130 Kejuaraan Cub Prix

Oleh: HAFIZAN TAIB

SERDANG, 19 OKT: Pelumba Petronas Yamaha-CKJ, Mohd Fitri Ashraff Razali beraksi cemerlang untuk muncul juara perlumbaan CP130 pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, di sini, semalam.

Ia adalah kemenangan pertama musim 2015 bagi pelumba dari Rawang, Selangor ini yang beralih ke jentera Yamaha tahun ini.

fitri01Mohd Fitri, berkata kemenangan dicipta menggembirakan kerana aksinya pada peringkat awal kurang menjadi apabila terjatuh selain mengalami masalah jentera.

“Walaupun gagal mendapat masa terbaik dalam sesi ujian masa namun saya tetap tenang untuk menghadapi perlumbaan akhir dan mula bertindak selepas pusingan ketiga apabila memintas satu demi satu pelumba hingga pusingan akhir dengan melintasi garisan penamat.

“Saya hadiahkan kemenangan ini kepada pasukan, penyokong dan juga istimewa buat penaja, Petronas kerana perlumbaan ini turut dihadiri ramai pengurusan tertingginya. Saya gembira dapat menghadiahkan kejayaan kepada mereka,” katanya.

fitri03Beliau bermula dari petak ke-11 menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa 14’50.469s mengatasi dua pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Rozaiman Said yang meraih podium pertama dalam kelas CP130, masing-masing dengan masa 14’50.931s dan 14’54.799s.

Bagaimanapun, Mohd Fitri masih ketinggalan dalam kedudukan keseluruhan dengan Ahmad Fazrul Sham (Yamalube AHM) yang tamat di kedudukan kelapan terus kekal mendahului senarai pelumba 103 mata, 24 mata mengatasi gandingan Abd Muhaimin Roslan (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dan rakan sepasukan Muhaimin yang juga abangnya, Ahmad Fazli Sham yang mengumpul 70 mata.

Pusingan kesembilan bakal berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 30 Oktober hingga 1 November ini.

EZY