Categories
SELANGOR

Gagal patuhi notis, MPSepang roboh 4 papan billboard haram

SEPANG 16 DIS: Gara-gara gagal mematuhi notis diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak empat papan iklan (billboard) dirobohkan di dua lokasi berbeza di sepanjang Lebuhraya Elite.

Ia sekaligus melancarkan operasi ‘Roboh Papan Iklan HARAM’ bagi membanteras sindiket menaikkan papan tanda iklan secara haram.

MPSepangPengarah Jabatan Bangunan, Majlis Perbandaran Sepang, (MPSepang), Sulaiman Abi Hashim, berkata notis diberikan sejak April lalu diabaikan pengusaha agensi papan iklan terbabit meskipun pihak MPSepang sudah menghubungi pihak mereka untuk tindakan selanjutnya.

“MPSepang sudah pun menghubungi dan menghantar notis supaya struktur papan iklan dibuka berikutan dibina tanpa kebenaran”.

“Bagaimanapun, arahan notis diabaikan menyebabkan tindakan merobohkan terpaksa dilaksanakan selepas didapati bersalah mengikut Notis Seksyen 35 Akta Jalan , Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)”, katanya.

Tambah beliau, MPSepang perlu bertindak tegas sebagai pengajaran kepada pengusaha agensi papan iklan lain supaya lebih mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak lagi membina apa-apa binaan di atas tanah milik rizab kerajaan tanpa mematuhi sebarang peraturan ditetapkan.

MPSepamg“Pihak agensi pengiklanan perlu mendapat kelulusan stuktur daripada Jabatan Bangunan MPSepang dan kemudiannya perlu memohon lesen perniagaan daripada Jabatan Perlesenan sebelum memasang papan iklan bagi menggelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, operasi merobohkan papan iklan dilaksanakan MPSepang di sekitar kawasan seliaan Majlis berikutan ia melanggar peraturan dan tidak mendapat kelulusan termasuklah papan tanda yang memaparkan imej yang tidak bersesuaian kepada masyarakat.

Tindakan tegas itu diambil selepas pengusaha iklan terbabit ingkar mengemukakan permit diminta selain mengabaikan notis makluman untuk meroboh sebuah papan iklan disamping serta membahayakan kawasan sekitar.

Katanya, MPSepang khuatir berikutan tiada kebenaran yang dikeluarkan, papan iklan yang dibina tanpa kelulusan itu akan tumbang akibat angin kencang dan mengundang bahaya kepada pengguna Lebuhraya.

Seramai 30 anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi pencerobohan ini.

EZY