Categories
AGENDA NASIONAL

NFCorp, Mohamad Salleh gagal dalam saman terhadap Public Bank

KUALA LUMPUR, 29 JUL: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikatnya hari ini gagal dalam saman mereka terhadap Public Bank Berhad berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam yang menolak saman kesemua plaintif iaitu NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikatnya, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd, yang difailkan pada 2012.

Hakim Su dalam penghakimannya berkata kesemua plaintif gagal membuktikan kes itu terhadap defendan (Public Bank) berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Sehubungan itu, tindakan saman terhadap defendan ditolak dengan kos,” katanya yang turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos sebanyak RM350,000 kepada Public Bank.

Hakim itu membuat keputusan selepas mendengar keterangan daripada tiga saksi plaintif dan tujuh saksi defendan.

Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Dakwa plaintif maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

Oleh itu, plaintif menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM250 juta sebagai ganti rugi teruk.

Sementara itu, peguam Noor Farhah Mustaffa yang mewakili kesemua plaintif memberitahu pemberita bahawa anak guamnya akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Selain Noor Farhah, plaintif turut diwakili peguam David Matthews manakala Public Bank diwakili peguam Yoong Sin Ming. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah batal prosiding hina mahkamah terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan kebenaran diperoleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli.

Prosiding menghina mahkamah berkenaan adalah berkaitan artikel disiarkan bekas anggota Parlimen Pandan itu di blog dan Facebook Mohd Rafizi membabitkan NFC.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Mohd Rafizi berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi tidak mempunyai asas selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan saman NFCorp dan Mohamad Salleh.

“Mahkamah hari ini berpendapat tiada asas kepada prosiding komital berkenaan. Oleh itu, mahkamah membatalkan kebenaran diperoleh NFCorp dan Mohamad Salleh,” katanya kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Razlan berkata Hakim Nik Hasmat memutuskan demikian selepas pihaknya memaklumkan kepada mahkamah berhubung perintah Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Rafizi memfitnah dan memerintahkan anak guamnya membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp dan Mohamad Salleh.

Bagaimanapun, peguam itu berkata sekiranya NFCorp dan Mohamad Salleh menang dalam rayuan berhubung kes saman berkenaan di Mahkamah Persekutuan, mereka boleh memfailkan semula permohonan prosiding menghina mahkamah tersebut.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang turut hadir dalam prosiding hari ini berkata anak guamnya (NFCorp dan Mohamad Salleh) telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan saman mereka dan kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 11 Julai.

Pada 23 Mei 2017, Mohamad Salleh dan NFCorp memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi selepas beliau sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFCorp walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Mohd Rafizi turut memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Mohamad Salleh dalam kes saman difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan saman yang difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp selepas mendapati Mohd Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah itu dan memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan.

Pada 13 Mei lepas, Mohd Rafizi menang dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohamad Salleh dan syarikatnya kerana memfitnah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Wira Kamaludin Md Said membenarkan rayuan Mohd Rafiz selepas sebulat suara bersetuju bahawa rayuan Mohd Rafizi mempunyai merit.

Mahkamah turut mengarahkan Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000, termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar oleh Mohd Rafizi kepada Mohamad Salleh. – BERNAMA