Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,637 usahawan wanita terima manfaat skim niaga Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 23 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membelanjakan sejumlah RM6.78 juta bagi pembiayaan program Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) sejak 2 Februari tahun lepas sehingga semalam.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 1,637 usahawan wanita di Selangor yang memperoleh dana memulakan perniagaan antara RM1,000 hingga RM5,000.

“Sambutan diterima amat memberangsangkan, malah sejak 1 Januari tahun ini seramai 117 individu sudah menerima manfaat sama dengan nilai keseluruhan RM522,000.

“Kebanyakan mereka menceburi perniagaan pemakanan, pembekalan, perkhidmatan, pertanian, pemprosesan dan penternakan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Beliau menambah permohonan skim berkenaan mudah dan cepat selain tidak perlu menghadiri mesyuarat mingguan seperti sebahagian program mikrokredit lain.

“Kita percaya skim ini membantu wanita untuk mencipta pendapatan baharu untuk keluarga selain menambah kewangan isi rumah,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri memberi peruntukan awalan RM10 juta untuk membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 serta boleh memilih tempoh biaya antara enam bulan hingga tiga tahun.

Terbuka kepada wanita dan semua kaum, individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri tawar modal, bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri menawarkan modal perniagaan kecil-kecilan menerusi program Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 untuk menceburi bidang perniagaan.

“Ramai yang mahu berniaga tetapi tiada modal, jadi kita salur modal segera kepada mereka selain turut memberi tunjuk ajar dan bimbingan mengenai ilmu perniagaan.

“Kerajaan Negeri sebelum ini memberi penerangan kepada seramai 30 juruterbang dan pekerja syarikat penerbangan Malindo berhubung peluang ditawarkan untuk menjana pendapatan,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengurangkan kesan penularan wabak terhadap sektor perniagaan dan kehidupan rakyat.

“Kita memberi kebenaran mereka yang berniaga di rumah menjalankan perniagaan secara pandu lalu tanpa memerlukan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi dengan syarat berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Inisiatif NaDi diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 30 Oktober lalu.

NaDi menawarkan bantuan pinjaman RM1,000 hingga RM3,000 kepada pemohon yang layak untuk menceburi bidang keusahawanan.