Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tarian singa di Selangor Fruit Valley 6 Februari

SHAH ALAM, 30 JAN: Sempena Tahun Baharu Cina, pengunjung ke Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya, Kuala Selangor akan dihiburkan dengan persembahan tarian singa pada 6 Februari depan.

Pengurusan Pemasaran Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata orang ramai dijemput untuk menyaksikan persembahan kebudayaan itu yang julung kali diadakan di taman pertanian berkenaan.

Menurutnya, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti baharu diperkenalkan di SFV iaitu menangkap ikan khusus bagi kanak-kanak dan memproses telur masin untuk dibawa pulang dengan bayaran hanya RM10.

“Kita cuba mempelbagaikan aktiviti di SFV untuk menarik lebih ramai pengunjung, contohnya sempena Tahun Baharu Cina kami bawakan persembahan tarian singa.

“Dua slot persembahan disediakan bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang pada 6 Februari depan,” katanya di sini semalam.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-688 0792 dan 012 343 2971 selain e-mel [email protected] .

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikan SFV sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor Fruit Valley catat jumlah pengunjung harian teramai

SHAH ALAM, 18 OKT: Seramai 1,373 orang mengunjungi Selangor Fruit Valley (SFV) pada dua hari cuti hujung minggu dengan rekod pengunjung harian teramai dicatat semalam dengan 866 pengunjung.

Jumlah teramai sebelum ini dicatat pada 16 September lalu dengan 823 individu.

Pengurus pemasarannya berkata angka direkod semalam mungkin disebabkan kebenaran rentas negeri berikutan terdapat pengunjung dari luar Selangor.

“Mereka datang dari merata tempat dan masih menjadikan SFV sebagai pilihan berdasarkan jumlah kedatangan yang memberangsangkan ini,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi SelangorKini.

Mengenai penjualan sayur-sayuran buat kali pertama kelmarin, beliau berkata sambutan amat menggalakkan di mana pengujung berpusu-pusu membeli sebaik selesai menjelajah ladang.

Katanya, dengan harga serendah RM2 bagi setiap pek, pengujung tidak melepaskan peluang membeli sayur-sayuran yang diambil secara terus dari ladang SFV.

SFV dibuka semula 2 Oktober lepas selepas ditutup sementara selama seminggu mulai 25 September bagi penyelenggaraan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

Harga tiket ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected] .

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley terima lebih 1,000 pengunjung dalam dua hari

SHAH ALAM, 4 OKT: Selangor Fruit Valley (SFV) dikunjungi 1,122 orang dalam tempoh dua hari pengoperasian semula sehingga semalam.

Pengurus pemasarannya berkata pusat agro pelancongan di Bestari Jaya itu merekod 605 pengunjung pada Sabtu dan 517 semalam dan jumlah itu memberangsangkan selepas seminggu ditutup berikutan kerja penyelenggaraan kawasan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

“Sebelum ini kita pernah menerima kunjungan lebih 800 individu dalam tempoh sehari selepas iklan pembukaan semula disiarkan di platform media sosial.

“Melihat perkembangan tersebut, kita menjangkakan bilangan pengunjung akan bertambah dari semasa ke semasa terutama selepas beberapa penambahbaikan dibuat,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi Selangorkini.

Meskipun menerima pengunjung yang ramai, namun beliau memaklumkan situasi adalah terkawal dan tiada pelanggaran SOP dikesan.

“Walaupun kawasan ini luas tetapi tiada masalah untuk kita memantau pematuhan SOP. Pengunjung juga dinasihatkan supaya mengikut setiap garis panduan dan mereka mematuhinya.

“Petugas ditempatkan di pintu utama untuk memastikan hanya individu lengkap dos vaksin dibenarkan memasuki kawasan terbabit manakala anak-anak kecil pula diingatkan sentiasa dalam kawalan ibu bapa dan penjaga,” katanya.

SFV dibuka secara rasmi pada 15 September sebelum ditutup sementara operasi bermula 25 September sehingga 1 Oktober bagi memberi laluan kerja berkaitan.

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.