Categories
AGENSI SELANGOR

Penyertaan penduduk bandar, luar bandar dalam saringan berbeza ketara

SABAK BERNAM, 10 JUN: Penyertaan antara penduduk bandar dan luar bandar dalam Saringan Komuniti Covid-19 menunjukkan perbezaan yang besar.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata perbezaan sekitar 50 peratus itu didorong faktor kesedaran dan pendedahan penggunaan media sosial.

“Sambutan penduduk di luar bandar kurang memandangkan kebanyakan mereka warga emas dan mungkin tidak mendapat makluman berkenaan program ini.

Norafida Zamri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bayangkan jika di bandar, kita mampu saring antara 2,000 hingga 3,000 peserta sehari tetapi di luar hanya sekitar 500 ke 1,000 individu. Jurang perbezaan ini sangat besar,” kata Norafida Zamri pada Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar semalam.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkan ujian percuma ditawarkan Kerajaan Negeri kerana kos di klinik swasta mahal sehingga boleh mencecah lebih RM100.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga hari ini.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 95,561 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil dengan 3,330 daripadanya disyaki positif Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada petugas kesihatan Klinik Selcare kendali saringan dijangkiti Covid-19

GOMBAK, 20 MEI: Tiada anggota perubatan Klinik Selcare terlibat dengan Saringan Komuniti dijangkiti Covid-19 sejak program itu bermula Februari lalu.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata petugas kesihatan sentiasa menekankan aspek keselamatan semasa mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) orang ramai.

“Alhamdulillah, atas kesedaran tersebut setakat ini tiada petugas dijangkiti wabak dan berharap mereka terus dilindungi.

Norafida Zamri bercakap kepada media selepas melakukan ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Beringin Gombak Setia, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Petugas memakai pakaian pelindungan diri (PPE) sepanjang proses ujian bagi mengelak sebarang risiko jangkitan,” kata Norafida Zamri pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini semalam.

Beliau berkata seramai 15 kakitangan ditempatkan di setiap lokasi saringan pada satu-satu masa untuk menjalankan skop kerja ditugaskan.

“Anggota kesihatan masing-masing berperanan untuk menyaring dan menguji setiap sampel ujian diambil di makmal bergerak di kawasan terbabit,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Klinik Selcare sedia tawar khidmat saringan di Pusat Penilaian Covid-19

GOMBAK, 19 MEI: Klinik Selcare bersedia menawarkan perkhidmatan saringan kepada individu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata usaha dijalankan klinik di bawah pengurusannya itu adalah sebahagian gerak kerja bagi membantu Kerajaan Negeri menangani penularan pandemik.

“Kita tahu kebanyakan yang datang ke CAC adalah kanak-kanak dan remaja positif Covid-19. Sudah pasti penjaga mereka terdedah kepada jangkitan wabak.

“Justeru, kami akan bantu daripada segi saringan sebelum menjalani kuarantin supaya penjaga tahu status kesihatan sepanjang tempoh penjagaan individu berkenaan,” kata Norafida Zamri.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Sementara itu, Norafida berkata pihaknya kini sedang menyusun gerak kerja bagi membantu melancarkan operasi termasuk menempatkan sejumlah kakitangan di CAC.

Pada 17 Mei, Dato’ Menteri Besar berkata 150 sukarelawan akan ditambah dan ditempatkan bagi membantu kelancaran operasi CAC di Selangor khususnya CAC daerah Petaling di Stadium Malawati.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mereka adalah penjawat awam, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), petugas perubatan klinik Selcare serta pelajar perubatan universiti swasta akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 serta penilaian pesakit.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

40 peratus kes positif Covid-19 babit individu 18 hingga 40 tahun

GOMBAK, 19 MEI: Sebanyak 40 peratus daripada 500 kes positif Covid-19 dikesan menerusi lapan Saringan Komuniti membabitkan individu berusia 18 hingga 40 tahun.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata golongan terbabit dipercayai mudah dijangkiti virus berbahaya itu berikutan sering melakukan kerja luar.

“Sejak program dimulakan awal bulan ini, petugas kesihatan Klinik Selcare berjaya mengambil 15,000 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk diuji dan kumpulan tersebut mungkin lebih terdedah kepada persekitaran di lapangan dan sebagainya,” kata Norafida Zamri.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai diharap memanfaatkan inisiatif tersebut supaya lebih banyak kes mampu dikesan sekali gus mengurangkan risiko penularan wabak yang lebih serius.

Sementara itu, Norafida memaklumkan saringan diteruskan di Dewan Seroja Kampung Bendahara, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan Dewan Serbaguna Batu 17, DUN Rawang esok mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.