Categories
AGENDA NASIONAL

Kosmetik Note kini perluas sayap ke Malaysia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selepas bertapak kukuh di Singapura, jenama kosmetik, Note kini mula melebarkan sayap perniagaannya di Malaysia apabila cawangan keempat di Parkson, Setia City Mall mula dibuka, semalam.

Pengarah Note, Siti R Habib berkata, kosmetik antarabangsa itu mula mendapat perhatian kebanyakan wanita memandangkan ia diiktiraf halal dan disahkan farmasuetikal.

Katanya, berdasarkan prestasi jualan semasa yang diterima di Malaysia membuatkan pihaknya terfikir untuk membuka cawangan di sini.

“Sejak bertapak di Malaysia, Note nyata menambat hari wanita yang mementingkan kosmetik halal serta bertaraf antarabangsa.

“Sebenarnya kosmetik ini sudah sinonim dengan pengguna terutama di Paris, London, Dublin dan negara barat lain walaupun ia produk dari Turki.

“Selepas dibawa masuk ke Singapura, ia menjadi pilihan kaum hawa dan buah mulut menyebabkan kami yakin ia bakal menambat hati wanita di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kiosk Komestik Note di Setia City Mall, di sini.

Pada masa sama, katanya, semakin ramai wanita kini beralih menggunakan kosmetik itu dan ia turut menjadi pilihan selebriti tempatan yang sanggup bertandang ke Singapura untuk mendapatkannya sebelum ini.

“Selain Malaysia, syarikat yang dilantik sebagai pengedar sah rantau Asia adalah Brunei, Filipina, Kemboja, Myammar, Timur Leste dan Vietnam.

“Kini kita turut mengintai pasaran di Indonesia,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jurusolek profesional tulang belakang produk kosmetik

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kerjaya sebagai jurusolek profesional mungkin kurang mendapat perhatian masyarakat sebelum ini, namun siapa sangka ia boleh menjana pendapatan lumayan.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Masdiana Muhamad berkata, beliau memuji kerjaya jurusolek yang tidak kurang hebatnya kerana mampu merubah raut wajah seseorang.

Katanya, jurusolek profesional juga menjadi tulang belakang di sebalik sesebuah jenama kosmetik.

“Solekan diwujudkan bagi memberi kesempurnaan atau kecantikan kepada seseorang, malah dengan satu calitan sahaja seperti memakai gincu, ia mampu menghasilkan perwatakan menarik pada wajah.

“Solekan juga adalah perkara asas bagi kecantikan serta menjadi satu kelengkapan harian wanita.

“Oleh itu, jurusolek profesional antara yang bertanggungjawab dalam merubah imej dan rupa seseorang yang mendapatkan perkhidmatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kiosk Komestik Note di Setia City Mall, di sini hari ini.

Pada masa sama, Masdiana berkata, kosmetik Note menjadi antara pilihannya sejak mula berjinak-jinak dalam dunia solekan.

“Saya amat yakin jenama ini menghasilkan produk khas buat wanita yang ingin mempunyai versi terbaik mereka kerana Note sentiasa memperkukuhkan produk solekan dengan teknologi penjagaan kulit selain menghasilkan produk baharu.

“Bukan itu sahaja, jenama Note juga antara produk halal dan bebas sebarang bahan terlarang serta disahkan farmaseutikal,” katanya.

Kosmetik bertaraf antarabangsa itu sudah sekian lama bertapak di Singapura dan kini memiliki empat cawangan di Malaysia antaranya di Isetan (1Utama); Isetan (The Garden) dan Parkson (IOI Putrajaya).