Categories
AGENDA NASIONAL

SAR digerak selepas saksi dakwa nampak pesawat terhempas di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan laut petang tadi selepas menerima laporan daripada saksi memaklumkan dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan dipercayai telah terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata sehingga pukul 6.30 petang tadi pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

“Operasi dihentikan berikutan cuaca semakin gelap dan kemungkinan ia akan disambung esok jika kami mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut. Polis juga setakat ini tidak menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya dua lelaki itu memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap tersebut terhempas kira-kira 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Selain itu, polis juga meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis kerana setakat ini kami memang tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas dia dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah hari ini.

Menurut saksi itu, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan terdapat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai mula membanjiri kawasan pantai tersebut untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan laut termasuk Angkatan Pertahanan Awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops SAR: Singapura, keluarga Tan zahir penghargaan

SINGAPURA, 19 OGOS: Kerajaan Singapura hari ini menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan semua agensi Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 10 hari lalu mencari dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di Mersing.

“Ia adalah operasi intensif, yang menyaksikan aset dan tenaga kerja dikerah dalam keadaan mencabar meliputi kawasan perairan yang luas di negeri Johor, Pahang dan Terengganu,” menurut Kementerian Luar Singapura (MFA) dalam kenyataannya di sini.

“Kami amat berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang mengetuai operasi SAR dan menyelaras pelbagai agensi Malaysia di darat dan laut.

“Kami juga terharu dengan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, terutamanya nelayan di kawasan berkenaan yang memainkan peranan penting dalam usaha pencarian itu,” menurut kementerian tersebut.

Operasi SAR menjejaki seorang lagi lelaki warga Singapura yang masih hilang sejak 8 Ogos lepas ketika menyertai ekspedisi berkayak di perairan Mersing ditamatkan semalam, selepas penyelamat gagal menemui petunjuk baharu.

Pengarah Maritim negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pencarian itu akan diaktifkan semula jika ada petunjuk baharu.

Puah Geok Tin, 57, dan Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas terpisah dengan 13 lagi rakan mereka berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika berkayak di perairan Mersing.

Mayat wanita warga Singapura, Puah, ditemukan terapung di kedudukan 5 batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 12.50 tengah hari, 14 Ogos, manakala Tan masih hilang.

MFA juga menzahirkan simpati kepada keluarga kedua-dua warga Singapura itu.

“Ingatan dan doa kami untuk keluarga mangsa pada saat-saat yang sukar ini,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, keluarga Tan juga menitipkan nota Terima Kasih.

“Kami, keluarga Tan Eng Soon, ingin mengucapkan terima kasih kepada APMM dan semua organisasi lain yang terlibat dalam pencariannya,” kata keluarga itu.

“Sokongan dan simpati nelayan dan masyarakat tempatan juga telah menyentuh perasaan kami dan memberi kami kekuatan, menempuh waktu yang sukar ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MFA Singapura yang telah bersusah payah melaksanakan tanggungjawab untuk bersama kami.

“Walaupun kami tidak dapat menemui mayatnya, kami menerima kenyataan ini bahawa beliau sememangnya menyukai laut dan beliau akan aman di sana,” kata keluarga itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops SAR rakyat Singapura masih hilang ketika berkayak ditamatkan

JOHOR BAHARU, 19 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang daripada dua rakyat Singapura yang masih hilang ketika berkayak di perairan Mersing pada 8 Ogos, ditamatkan pada pukul 9 malam tadi selepas tiada petunjuk baharu ditemukan oleh pasukan penyelamat.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi bagaimanapun akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu dijumpai.

“Operasi ditamatkan kerana tiada lagi sebarang petunjuk baharu ditemukan selepas menjumpai mangsa wanita (salah seorang mereka) pada 14 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebelum itu operasi telah pun dijalankan selama 10 hari meliputi skop pencarian dari udara, permukaan laut, pesisir pantai dan di pulau-pulau yang melibatkan seramai 155 anggota, lima aset udara dan 11 aset laut dari pelbagai agensi dengan anggaran kos operasi sebanyak RM431,380.

Puah Geok Tin, 57, bersama Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang setelah terpisah daripada 13 rakan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Mereka terpisah berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika itu namun mayat Puah telah ditemui di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 14 Ogos lepas manakala mayat Tan belum dijumpai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

OP SAR warga Singapura hari ke-10 tumpu pesisir pantai

KUALA TERENGGANU, 18 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura, Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor yang masuk hari ke-10 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian seluas 100 batu nautika persegi dari pesisir pantai Merchang, Marang hingga ke muara Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, keluasan pencarian hari ini diperkecilkan berbanding 300 batu nautika persegi semalam bagi memberi tumpuan pencarian di pesisir pantai.

“Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM hari ini melibatkan aset laut sebanyak enam buah bot milik pelbagai agensi keselamatan yang mana berlaku pertambahan daripada jumlah aset yang digunakan berbanding empat buah bot semalam.

“Keadaan laut yang bergelora turut menyukarkan operasi pencarian yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, seramai 80 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut sama terlibat dalam usaha pencarian yang bermula pukul 8 pagi tadi.

Tan, 62, dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di Mersing, Johor berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Pada Rabu, mayat Puah ditemukan di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu, Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis lepas.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM aktifkan SAR cari pemancing hilang di laut

LAHAD DATU, 4 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot pam dinaiki bersama rakannya dipukul ombak pada Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa hilang Herman Gasim, 31, bersama rakannya Mazlan Mohamad keluar memancing sebelum bot dinaiki karam, lebih kurang dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku dekat sini pada jam 12.50 tengah hari.

“Namun rakan mangsa, berjaya berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bertindak daripada laporan terbabit, Abdul Muhaimin berkata, SAR diaktifkan pada jam 6 pagi semalam.

“Operasi itu membabitkan empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan hari ini merangkumi kawasan seluas 86 batu nautika persegi.

SUMBER: BERNAMA