Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belanja RM3.3 juta bantu Orang Asli suku Batek

KOTA BHARU, 8 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.

Jumlah itu termasuklah pembinaan Sistem Bekalan Elektrik Talian Grid berjumlah RM2 juta oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sedang menyediakan penanaman kontan bagi sayur terung dan labu sebagai sumber makanan dan punca pendapatan tambahan kepada 53 ketua isi rumah.

“Di samping itu, Jakoa telah melatih anak tempatan sebagai tenaga kerja untuk Sekolah Komuniti dan merancang menyediakan kelas jahitan untuk ibu selain Kerajaan Persekutuan dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas),” katanya pada Perasmian Kick-Off #ANAKMALAYSIATINGGI di sini, hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Wan Azizah berkata, kerajaan sedang melaksanakan Program Community Feeding bagi membantu meningkatkan taraf pemakanan kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli.

“Saya menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan serta agensi lain yang berkaitan seperti Jakoa, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta individu dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

“Kita harus optimis, berusaha dan sentiasa berdoa agar masalah anak bantut tidak menjadi isu nasional yang lebih serius kepada Malaysia,” katanya.

Pada majlis itu, Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ehsan RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kanak-kanak Orang Asli kritikal di HRPZII meninggal dunia

KOTA BHARU, 17 JUN: Kanak-kanak Orang Asli suku Batek berusia tiga tahun yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, disahkan meninggal dunia, petang semalam.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, Nasri Rosli yang dimasukkan ke hospital sejak sembilan hari lalu, meninggal dunia pukul 6.45 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dijangka akan dilakukan bedah siasat di Unit Forensik HRPZII pagi ini bagi mengetahui punca kematian.

“Tindakan selanjutnya akan dilakukan sebaik kita mendapat keputusan hasil daripada proses bedah siasat yang dilakukan pihak hospital,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini dua kematian suku kaum Batek dari Kuala Koh, Gua Musang telah disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru manakala 12 lagi lagi mayat yang telah ditemui dan dikebumikan secara adat di perkampungan itu akan dilakukan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Orang Asli Kuala Koh pulang semula ke rumah

GUA MUSANG, 16 JUN: Sebilangan besar daripada lebih 100 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang sebelum ini berpindah ke hutan selepas berlaku masalah penyakit sejak lebih sebulan lepas, mula pulang ke rumah mereka.

Mereka mulai pulang ke rumah asal yang dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak dua hari lepas setelah yakin bahawa penyakit itu tidak lagi menular.

Seorang penduduk Orang Asli, Kulim Tebu, 72, berkata dia percaya penyakit itu tidak lagi merebak, malah dia dan penduduk juga sudah boleh mendapatkan kemudahan air bersih yang boleh digunakan sepanjang masa.

Katanya, dia bersama penduduk lain sebelum ini terpaksa berpindah dan tinggal di dalam khemah di kawasan hutan serta pinggir sungai kerana kampung itu telah terputus bekalan air bersih bagi keperluan harian.

“Kami juga rasa lega dapat balik semula ke rumah dan semua kemudahan air bersih sudah disediakan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Mamat Pokok, 21, pula berkata sebelum ini memang ada keperluan air bersih disediakan tetapi berlaku masalah seperti kerosakan paip yang menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber air sendiri.

Katanya disebabkan itu, penduduk terpaksa membina khemah di tepi sungai bagi memudahkan urusan mendapat air bagi keperluan harian.

“Kami balik semula semalam bersama keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik selepas semua kemudahan khususnya air bersih disediakan,” katanya.

Mamat berkata agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan perlulah mengambil perhatian setiap masa bagi menyelesaikan segala masalah dihadapi kaumnya.

Penduduk di kampung itu kini berdepan isu dengan dua kematian akibat penyakit radang paru-paru dan 12 lagi kematian yang masih belum disahkan penyakit mereka sejak sebulan lepas.

Selain itu, lebih 100 orang telah menerima rawatan manakala empat dilaporkan masih kritikal iaitu tiga di Hospital Kuala Krai dan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

-BERNAMA