Categories
NASIONAL

Otai Reformis lancar kempen Bebas Anwar seluruh negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 8 MEI : Aktivis Reformasi, Otai Reformis bakal menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara bagi menuntut pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya Saari Sungib berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha memberi kesedaran kepada masyarakat atas keperluan pembebasan Anwar yang dianggap sebagai negarawan terulung.

“Kita akan gerakkan jelajah ke seluruh negara melibatkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) bagi penganjuran ceramah, kempen dan proses petisyen.

OTAI REFORMIS (10)“Ini adalah usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa masalah yang berlaku dalam negara dapat diselesaikan dengan menukar kerajaan.

“Namun, fokus dan keutamaan kami adalah ke arah pembebasan Anwar,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum memohon perkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi proses pengampunan di raja terhadap Anwar.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Kumpulan Kerja Penahananan Arbitrari mengesahkan Anwar adalah tahanan politik.

Pendirian sama turut dinyatakan Working Group United Nations bahawa pemenjaraan Anwar dilaksanakan bagi menyekat pengaruh politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

BEBAS ANWARAnwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah atas sabitan liwat ke atas bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhary.

Untuk rekod, lanjutan permohonan pembebasan Anwar telah dikemukakan kepada mahkamah dan Istana untuk tempoh ketiga sepanjang penahanannya di Sungai Buloh.

Sebelum ini, rayuan oleh Anwar dan anggota keluarganya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen atas sabitan meliwat di dengar di Mahkamah Rayuan, 19 Januari lalu.

Categories
NASIONAL

Otai Reformis serah memorandum kepada Agong, tuntut bebas Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 8 MEI : Aktivis Reformasi, Otai Reformis menyerahkan memorandum kepada Istana Negara bagi memohon perkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V ke arah pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Saari Sungib berkata, pembebasan Anwar diperlukan selepas mengambil kira sumbangan dan peranan bekas Ketua Pembangkang itu dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat Malaysia.

“Beliau seorang yang sangat memberi tumpuan kepada isu rakyat dan sanggup masuk penjara walaupun mempunyai pilihan lebih baik di luar.

OTAI REFORMIS (9)“Namun, beliau memilih untuk berjuang demi rakyat. Anwar seorang negarawan yang tidak sepatutnya dilayan sedemikian rupa,” katanya di luar perkarangan Istana Negara, pagi ini.

Selain Otai Reformis, 19 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut hadir menyokong ke arah usaha pembebasan Anwar.

Ia turut disertai wakil pimpinan DAP, Ronnie Liew, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADN Ijok, Dr Idris Ahmad.

Sementara itu, memorandum diserahkan kepada kepada wakil pegawai Istana, Che Hilmy Che Musa.

Antara kandungan intipati memorandum termasuk kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Working Group United Nations berhubung pemenjaraan Anwar yang dianggap sebagai tahanan politik.

Bagaimanapun, Saari berkata, pihak istana tidak memberi sebarang jaminan ke arah pertimbangan permohonan berkenaan.

“Kami tidak dimaklumkan sebarang ‘time frame’ (tempoh) yang ditetapkan pihak istana, namun mereka berjanji akan beri layanan sewajarnya,” katanya.

OTAI REFORMIS (4)Satu-satunya usaha terakhir untuk melihat Anwar kembali aktif berpolitik adalah dengan cara mendapatkan pengampunan diraja oleh Sultan Muhammad V yang baru menaiki takhta.

Ia cubaan kali ketiga permohonan dikemukakan parti politik, keluarga Anwar dan NGO mendapatkan pengampunan diraja.

Anwar kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan fitnah II membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sebelum ini, keluarga Anwar turut mengemukakan permohonan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan Diraja selepas keputusan itu ditolak di Mahkamah Tinggi dan dibawa ke Mahkamah Rayuan.