Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perpaduan kaum di negara ini masih erat – Waytha Moorthy

SEREMBAN, 27 OKT: Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini masih erat apabila masyarakat saling menerima antara satu sama lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata, ia jelas dapat dilihat pada sambutan perayaan Deepavali hari ini yang turut dihadiri masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan masyarakat Orang Asli.

“Perayaan sambutan Deepavali membawa kecerahan kepada semua penganut agama Hindu di seluruh dunia dan melalui perayaan ini juga kita semua boleh ziarah-menziarahi serta saling memahami adat resam dan agama masing-masing.

“Seperti kita lihat pada hari ini masyarakat berbilang kaum hadir dalam perayaan ini, ia jelas menunjukkan bahawa perpaduan di negara ini sangat erat di mana adanya semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Deepavali Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Kampung Belihoi Minah Ujang, 53, menyifatkan pengalaman menyaksikan kemeriahan sambutan Deepavali adalah sesuatu yang menyeronokkan di samping berpeluang mengenali tradisi budaya kaum lain.

“Saya mewakili masyarakat Orang Asli di kampung saya berasa sangat teruja kerana berpeluang menikmati sajian makanan serta mengenali keunikan budaya kaum lain. Di sini pelbagai kaum ada seperti Melayu, Cina dan India bersama-sama meraikan sambutan Deepavali sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan kaum dan berinteraksi bersama mereka,” katanya.

Pekerja swasta, Lee Szepoh, 48, berkata sambutan perayaan itu memberi impak sangat positif dalam perpaduan kerana ia dapat diraikan semua masyarakat selain berpeluang beramah mesra dengan pemimpin.

Pada majlis itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis dan mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah dan persembahan nyanyian serta tarian tradisional masyarakat setiap kaum dan etnik yang ada di negara ini.

Majlis yang bermula pada 12 tengah hari itu, turut meraikan anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya antaranya daripada Rumah Kanak-Kanak Vivekananda Rembau, Pertubuhan Kebajikan Sri Raghavendra dan Pertubuhan Kebajikan Vinashini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Waytha Moorthy kekal sebagai menteri – Dr Mahathir

PUTRAJAYA 3 Oktober: P. Waytha Moorthy kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun terdapat desakan beliau dipecat susulan keputusan inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tak nampak ada masalah, jadi untuk waktu ini saya masih boleh simpan dia (Waytha Moorthy) sebagai menteri,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Pada Januari lepas, Dr Mahathir dilaporkan membuat kenyataan ekoran peningkatan gesaan supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan, bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib.

Mahkamah Koroner pada 27 September lepas memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Disember lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata desakan meletak jawatan itu wajar setelah Waytha Moorthy dilihat gagal memainkan peranan terutama dalam meredakan api perkauman dalam insiden rusuhan di Subang Jaya sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Adib.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tangani isu kesihatan suku Batek fokus utama

PUTRAJAYA, 6 JUL: Fokus utama kerajaan pada masa ini ialah untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu kesihatan yang sedang dihadapi suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani perkara tersebut.

“Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menangani isu ini, bersama dengan isu-isu lain seperti tahap kesihatan dan peluang ekonomi bagi suku Batek dan masyarakat Orang Asli lain yang terpinggir,” katanya.

Tambah Waytha Moorthy, langkah-langkah kukuh untuk menangani isu-isu lain suku Batek akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan di Kuala Koh stabil, setelah berlaku kejadian 15 anggota suku tersebut maut hampir serentak baru-baru ini.

Beliau turut merujuk kepada jawapan yang diberikan di Parlimen pada 4 Julai 2019 mengenai pencapaian yang rendah oleh masyarakat Orang Asli dari suku Batek.

“Statistik ini mencerminkan kepinggiran yang kian lama dihadapi masyarakat tersebut,” katanya. – BERNAMA