Categories
AGENDA NASIONAL

Bangkai yu paus ditemui terapung di Pangkor

LUMUT, 24 JAN: Bangkai seekor anak ikan yu paus jantan spesis Rhincodon Typus seberat 1.5 tan, ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Pangkor, Jumaat lalu.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, mamalia sepanjang 5.7 meter dan dipercayai berumur lima tahun itu, ditemui terapung oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, selepas mendapat maklumat, pihaknya bersama FRI Kampung Acheh dan juga My Komuniti Perikanan Teluk Senangin, menggerakkan operasi mencari bangkai mamalia itu sebelum menemuinya kira-kira pukul 6.30 petang semalam, berhampiran Jeti Damar Laut, dekat sini.

“Bangkai tersebut ditemui di kawasan pokok bakau dan itulah yang menyebabkan proses pencarian sebelum ini sukar dan ia kemudian ditarik ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di jeti berkenaan, di sini hari ini.

Mohd Tamimi berkata hasil bedah siasat ke atas haiwan itu yang dipercayai mati sejak empat hari lepas mendapati, sirip pektoral kanan telah dipotong oleh individu tidak bertanggungjawab, selain terdapat beberapa jenis sampah seperti ranting dan plastik di bahagian perut.

Beliau berkata kandungan air laut dalam kantung perut mamalia tersebut juga berlebihan iaitu melebihi 10 gelen air.

“Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat punca kematian ikan tersebut, yang biasanya ditemui di Pulau Sembilan, Bagan Datuk kerana kawasan itu mempunyai makanan seperti ikan bilis dan udang,” katanya.

Mohd Tamimi berkata pihaknya berharap nelayan atau orang awam tidak menganggu ikan yu paus berkenaan sekiranya terjumpa, kerana spesis itu dilindungi di dalam Akta Perikanan 1985.

“Individu yang tidak bertanggungjawab akan memotong bahagian sirip yu untuk dijual atau dimakan kerana harganya yang mahal, terutama jika dijadikan sup boleh mencecah RM100 hingga RM1,000.

“Ini adalah spesis terancam yang mana populasi biasanya tidak banyak, hanya satu ke tiga ekor di dalam satu perairan,” katanya.

-BERNAMA