Categories
SELANGOR

Alir sisa kimia ke sungai, MPS rampas lesen kilang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

RAWANG 15 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merampas lesen sebuah kilang kitar semula tong yang dipercayai mengalirkan sisa bahan kimianya ke dalam Sungai Kundang, di Taman Perindustrian Puteri Permai, di sini, semalam.

Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua MPS, C Paramasivam, berkata kilang yang sudah beroperasi lebih kurang dua tahun itu turut berhadapan tindakan penyitaan MPS.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAParamasivam berkata, tindakan itu perlu diambil kerana mengalirkan sisa kimia ke dalam sungai mampu menyebabkan pencemaran alam sekitar dan membahayakan pengguna air sekitar Lembah Klang.

“Perbuatan pemilik kilang ini beri kesan yang serius dan lesen kilang dirampas disebabkan kesalahan itu. Kami juga akan menjalankan penyitaan ke atas kilang ini.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan penjara lima tahun dan denda RM500,000 di bawah Akta Alam Sekitar,” katanya selepas operasi bersepadu mencegah pencemaran sungai, di sini, semalam.

Pemilik kilang itu turut dikenakan tindakan kompaun terhadap beberapa kesalahan lain yang dilakukan.

Paramasivam berkata, air Sungai Kundang adalah salah satu sumber air yang mengalir ke Sungai Selangor dan dijadikan bekalan air bagi kira-kira satu juta penduduk Lembah Klang.

Dalam operasi sama, sebuah kilang haram membuat tauhu kering turut berhadapan tindakan sama dan dikenakan kompaun atas lima kesalahan serta berhadapan notis meroboh.

“Dalam operasi bersepadu ini, dianggarkan kompaun yang dikeluarkan hampir mencecah RM100,000,” kata Paramasivam lagi.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kilang tauhu kering itu berada dalam keadaan kotor, dipenuhi anjing dan mengalirkan sisa buangan mereka ke dalam Sungai Kundang.

Dalam operasi bersepadu itu, kira-kira 11 ekor anjing tidak berlesen ditangkap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu memembabitkan kira-kira 70 anggota daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Veterin

Categories
SELANGOR

Usus babi jadi makanan ikan sebelum dijual

Oleh : Nazli Ibrahim

RAWANG 15 NOV: Seorang pemilik perusahaan pemprosesan babi tanpa lesen menjadikan organ dalaman babi seperti usus sebagai makanan ternakan ikan air tawar miliknya sebelum dipasarkan, selain memproses daging haiwan itu.

Ikan air tawar yang terdiri daripada patin, talapia dan keli itu diternak dengan menggunakan kaedah sangkar di lombong dan kolam berhampiran.

Penemuan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu yang diketuai Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam, di Jalan Kundang, Kampung Sungai Bakau, di sini, semalam.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAParamasivam berkata, pengusaha terbabit diberikan notis 30 hari sebelum premisnya dikenakan tindakan meroboh, selain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kami akan memohon untuk merobohkan premis ini kerana hanya Yang Dipertua sahaja mempunyai kuasa memberikan arahan itu.Selain menghadapi notis meroboh, pengusaha terbabit turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM6,000 atas enam kesalahan,” katanya.

Antara kesalahan itu adalah menyimpan daging babi tanpa lesen, tidak mematuhi prosedur penyediaan makanan, membuang tali perut babi ke dalam kolam dan lombong serta tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu seperti syarat yang dikenakan terhadap penyedia makanan.

Sementara itu, pengusaha terbabit mendakwa dia hanya memproses babi seperti melapah dan memotong, selepas dihantar pembekal babi untuk dijual di restoran.

Selain itu, Selangor Kini turut difahamkan, air kolam terbabit turut dilepaskan ke Sungai Kundang sebelum mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada sebahagian pengguna air negeri itu.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu membabitkan kira-kira 70 anggota daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Operasi turut dijalankan ke atas dua premis lain iaitu kilang membuat tauhu kering bersebelahan tempat memproses babi berkenaan dan kilang kitar semula tong yang terletak di Taman Perindustrian Puteri Permai.

-NFN-