Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tambah baik strategi, perkukuh kawalan sempadan negara

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Penambahbaikan strategi dan rondaan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden tembakan di kawasan berkenaan baru-baru ini sudah mula dilaksanakan sejak Khamis lalu bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata penambahbaikan berkenaan antaranya melibatkan penugasan rondaan dengan lebih ramai anggota berbanding sebelum ini.

“Selain itu, pasukan Komando VAT 69, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, kenderaan berperisai, penggunaan dron dan rondaan melalui helikopter digunakan untuk membantu PGA membuat tinjauan di sempadan,” katanya kepada Bernama semalam.

Mengulas mengenai penugasan PGA yang masih menggunakan pistol, beliau berkata penggunaan senjata api itu hanya untuk penugasan risikan manakala untuk rondaan, anggota PGA dibekalkan dengan senjata raifal.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan Op Pagar 2 di sempadan negara, Bukit Kayu Hitam pada 28 November 2020. Foto BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata PDRM telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand untuk membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.

“Sudah ada perbincangan antara Polis Diraja Thailand dengan Ketua Polis Perlis (Datuk Surina Saad) kerana berlakunya (kejadian) tembak di Perlis,” katanya.

Rabu lalu, Bernama melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua melibatkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan tersebut berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah, masing-masing telah menempatkan aset dan anggota tambahan, di sempadan Malaysia-Thailand bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan Gerakan Am tukar strategi, sistem rondaan sempadan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia -Thailand, akan menukar strategi dan sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut strategi dan sistem itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata perubahan itu berikutan sempadan negara sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.

“Melihat kepada insiden seorang anggota PGA yang bertugas di Bukit Kayu Hitam, Kedah cedera ditembak dengan senapang angin, kami akan memperketatkan kawalan di sempadan dan menambah baik sistem agar kegiatan penyeludupan tidak dapat menembusi sempadan negara kita.

Selain itu, PGA akan membuat rondaan pagar ke pagar (di pintu kecil sempadan) di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 30 hingga 40km untuk berhubung dengan pihak berkuasa Thailand,” katanya kepada Bernama.

Media semalam melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai kecederaan anggota PGA yang bertugas dekat Bukit Kayu Hitam itu, Abd Rahim berkata anggota berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.

“Suspek yang menembak anggota saya menggunakan senapang cicak (senapang angin) itu, tembakannya mengenai perut mangsa yang hanya mengalami sedikit melecet,” katanya.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membanteras aktiviti penyeludupan kawasan sempadan negara.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan tersebut berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PGA tahan lelaki Myanmar, rampas 13 peluru hidup

ALOR SETAR, 11 JUN: Sepasukan anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki Myanmar kerana memiliki 13 butir peluru hidup jenis 12 bore di sebuah kawasan kebun getah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, pada malam Ahad lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Supt Khalid Saion berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada 8.40 malam oleh anggota berkenaan yang terserempak dengannya dalam keadaan mencurigakan.

Katanya sebaik ditahan, pasukan yang membuat pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kita menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemui 13 butir peluru hidup jenis 12 bore tanpa jenama di dalam beg sandang miliknya menyebabkan dia ditahan untuk siasatan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Khalid berkata siasatan awal mendapati lelaki yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu itu dipercayai sedang menunggu kumpulan lain di dalam kebun getah itu untuk menyusup masuk negara ini.

“Kita juga masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuklah tujuan peluru itu dibawa dan tujuan apa ia digunakan,“ katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Khalid berkata ini antara kejayaan pasukannya selepas mengambil tugas menjalankan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Wawasan Kedah/Perlis sejak 1 Jun lepas.

“Kita turut bertanggungjawab membuat kawalan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis serta Kota Putra di Padang Terap,” katanya. – BERNAMA