Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PdPR disambung selepas tamat cuti pertengahan tahun

PUTRAJAYA, 6 JUN: Sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun diteruskan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Sesi pembelajaran itu bermula dari 13 Jun hingga 15 Julai bagi sekolah kumpulan A iaitu sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan 14 Jun hingga 16 Julai bagi sekolah kumpulan B iaitu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan juga perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh tersebut berdasarkan takwim masing-masing, katanya.

Radzi dalam sidang media secara maya hari ini, berkata perancangan mengenai sesi persekolahan selepas tempoh itu juga akan diumumkan seminggu sebelum tamat cuti pertengahan penggal.

Cuti pertengahan penggal bagi sekolah kumpulan A ialah dari 16 hingga 24 Julai manakala bagi kumpulan B dari 17 hingga 25 Julai.

Radzi berkata sesi PdPR dilaksanakan mengikut kesesuaian pelajar dan guru memandangkan para pendidik lebih mengetahui kebolehan dan keupayaan anak didik mereka

Menurutnya, KPM menerima keluhan mengenai manual PdPR 2.0 yang dikatakan mengandungi banyak subjek yang perlu diikuti pelajar, namun manual itu hanya sekadar panduan untuk membolehkan guru melihat keadaan yang paling optimum bagi membimbing pelajar mereka.

“Guru lebih tahu apa pendekatan sebaiknya, sebab itu tumpuan kita ialah mengenai kemenjadian murid secara keseluruhannya,” katanya.

Radzi berkata keberkesanan PdPR semakin meningkat jika dibandingkan dengan tahun lepas kerana ketika diperkenalkan ramai yang kekok.

Mengenai siaran DidikTV KPM, Radzi berkata rancangan itu akan terus disiarkan setiap hari selama 15 jam dengan kandungannya mengikut silibus mata pelajaran, manakala slot televisyen pendidikan juga diteruskan di TV Okey RTM selama dua jam dan di Astro Tutor TV selama empat jam setiap hari.

Ditanya sama ada KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan untuk kembali ke sekolah terlebih dahulu, Radzi berkata: “Sekiranya KPM buat keputusan untuk murid kembali ke sekolah, ya, pelajar kelas peperiksaan akan pergi dahulu (diutamakan), tentang bila akan dimaklumkan kemudian.”

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KPDNHEP lancar Ops Catut pantau barangan keperluan PdPR

SHAH ALAM, 27 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melancarkan Ops Catut 8.0 bermula semalam hingga 8 Febuari depan terhadap barang keperluan elektrik di seluruh daerah.

Pengarahnya berkata ia membabitkan komputer meja dan riba, telefon bimbit, pencetak serta tablet memandangkan permintaan tinggi ketika ini susulan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ops ini bagi membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga. Berikutan itu seramai 200 pegawai penguat kuasa akan meninjau harga atau unsur keuntungan tidak munasabah sepanjang tempoh ini,” kata Muhammad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan.

Menurutnya, syarikat atau peniaga yang dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 Seksyen 14(1) boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 hingga RM1 juta atau denda lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya memberi amaran dan peringatan kepada mereka supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan tidak munasabah ketika permintaan meningkat ini.

“Orang ramai boleh membuat aduan di [email protected], [email protected] atau hubungi talian pusat 1800886800 serta 03-88826245/6088. Mereka juga boleh hadir ke 73 cawangan KPDNHEP seluruh negara serta menerusi aplikasi WhatApps di talian 019-2794317,” katanya.