Categories
SELANGOR

MB: Selangor akan serah pelan induk penyelesaian trafik kepada Pusat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC:  Pelan induk bagi mengatasi kesesakan trafik di Selangor akan dirangka sebelum diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pelan berkenaan membolehkan penyelesaian trafik secara menyeluruh di negeri itu dan tidak tertumpu kepada kawasan tertentu.

“Ketika ditanya berkenaan penyelesaian trafik, saya beritahu kita dalam proses buat pelan induk di Selangor.

Kunjungan hormat menteri kerja raya haji Fadillah haji Yusof MB (1)“Apabila siap, kita boleh kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan kerana mahu penyelesaian trafik di Selangor bukan melalui pembinaan lebuh raya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, di Pejabat Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu Projek Lebuhraya Kinrara – Damansara (Kidex), Mohamed Azmin memberitahu perkara itu tidak dibincangkan.

“Kidex langsung tidak dibincangkan sebab saya sudah buat keputusan itu sebelum ini untuk tidak membenarkan pembinaan lebuh raya itu. Tidak ada reaksi berkenaan isu itu daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah dalam sidang media sama berkata, kementerian sedia membawa pelan induk itu untuk dikemukakan kepada kabinet.

-NFN-