Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa galak pemakaian pelitup muka fabrik, elak penghasilan sisa plastik

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan persekutuan dan negeri digesa untuk mula menggalakkan pemakaian pelitup muka jenis fabrik yang menepati garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membendung masalah pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik yang tidak terkawal.

Pengerusi Kelab Kebajikan Masyarakat Gemilang Kuala Lumpur (Kelab Gemilang) Na’im Brundage berkata anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup pakai buang diteruskan.

“Berdasarkan garis panduan WHO, pelitup muka perubatan pakai buang yang kini dipakai oleh sebilangan besar rakyat Malaysia hanya perlu dipakai oleh petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala dan orang awam yang berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik.

“Maka kami pasti bahawa pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik tidak terkawal boleh dibendung jika rakyat mengikut garis panduan yang ditetapkan WHO ini dan memilih untuk memakai pelitup muka jenis fabrik yang boleh dipakai semula selepas dibasuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelitup muka yang menepati piawaian WHO perlu mempunyai tiga lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) dan lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik tidak tepati ciri WHO

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran mungkin tidak menepati ciri disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelitup muka itu boleh dipakai namun keberkesanannya bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain.

Katanya terdapat dua jenis pelitup muka boleh mencegah penularan Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

“Pelitup muka perubatan mempunyai tiga lapisan yang digunakan petugas kesihatan, orang awam bergejala saluran pernafasan, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Pelitup bukan perubatan disyorkan kepada mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat yang sukar mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan pelitup muka harus disertai amalan penjagaan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal satu meter dengan orang lain.

“Pelitup muka tidak boleh dipakai kanak-kanak kurang dua tahun, individu sukar bernafas dan tidak sedarkan diri, kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

“Alat ini juga tidak boleh dikongsi dan perlu dipakai serta dilupuskan dengan cara yang betul,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

10,000 pelitup muka fabrik untuk penduduk Bukit Gasing

SHAH ALAM, 31 MEI: Sebanyak 10,000 pelitup muka fabrik dibuat untuk diedarkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, kata Ahli Dewan Negerinya.

R Rajiv berkata inisiatif menjahit dan menyiapkan bahan tersebut bermula apabila stoknya sukar diperoleh di pasaran dan ia memudahkan orang ramai menggunakan berulang kali dengan mencucinya tanpa perlu membuang.

“Sehingga kini sudah lebih 1,000 pelitup muka diberikan dan program ini dilaksanakan juga bagi menbantu beberapa tukang jahit industri kecil dan sederhana serta sukarelawan yang tidak mempunyai pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada SelangorKini.

Rajiv berkata orang ramai yang ingin mendapatkan pelitup muka fabrik itu boleh membuat permohonan di https://bit.ly/BGHandSewnFaceMasks2 dan hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Gasing untuk kutipan.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai untuk mencucinya sebelum dan selepas menggunakannya bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19,” katanya.