Categories
GLOBAL

Presiden Indonesia diumum 28 Mei

JAKARTA, 18 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Indonesia dijangka mengumumkan presiden dan naib presiden bagi tempoh 2019 hingga 2024, pada 28 Mei ini.

Pengerusi SPR Indonesia, Arief Budiman berkata, 22 Mei adalah pentas menentukan keputusan undian dan pada 25 Mei pula, pihaknya akan melihat jika saman difailkan atau tidak.

“Jika tiada saman pada tempoh 25 hingga 27 Mei ini, kami akan mengumumkan presiden dan naib presiden yang dipilih pada 28 Mei 2019,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata, presiden boleh diumumkan lebih awal iaitu pada 26 Mei ini, jika keadaan benar-benar kondusif dan tanpa saman daripada pembangkang.

Bagaimanapun, Arief mendakwa beliau sudah bersedia dengan semua risiko yang akan timbul.

SPR Indonesia kini mengendalikan proses membabitkan peguam dalam berurusan dengan kemungkinan tuntutan yang akan timbul.

Katanya, saman, selepas mengumumkan hasil undian, akan dikendalikan oleh Mahkamah Perlembagaan menerusi proses perbicaraan.

Disebabkan itu, beliau merayu kepada semua pihak berkenaan menyelesaikan perbalahan ketika proses pengiraan undian dalam bangunan SPR Indonesia.

“Setakat ini, 28 daripada 35 wilayah sudah menyelesaikan proses pengiraan semula undi bagi pilihan raya 2019,” katanya.

Categories
GLOBAL

Jokowi selesa dahului Prabowo dengan 13.5 juta undi

JAKARTA, 8 MEI: Proses pengiraan kertas undi bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia kini melebihi 70 peratus, dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) selesa mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto, dengan kelebihan 13.5 juta undi.

Jokowi yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ ruf Amin memperolehi 61,207,039 undi.

Manakala Prabowo dan pasangannya Sandiaga Uno memperolehi 47,647,252 undi.

Mengikut real count atau pengiraan undi menerusi laman web rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU) setakat tengah hari ini, pengiraan undi itu melibatkan 577,855 Tempat Pembuangan Suara ( TPS) atau pusat pengundian daripada keseluruhan 813,350 TPS.

Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2019.

Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei ini.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

PEMILU 2019: Jokowi di depan, kira undi selesai 22 Mei

JAKARTA, 20 APRIL: Proses pengiraan undi pilihan raya umum Indonesia (PEMILU 2019) dijangka selesai 22 Mei, sebelum Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan Presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024.

Berdasarkan pengiraan undi setakat 10.30 pagi ini, pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’aruf Amin mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Pengiraan undi KPU menunjukkan Presiden Jokowi, 57, dan pasangannya untuk naib presiden, Ma’aruf, 76, mendahului dengan 54.89 peratus, hasil daripada 37,787 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.

Proses pengiraan boleh diikuti menerusi laman rasmi KPU iaitu di https:///infopemilu.kpu.go.id.

Berdasarkan hitung cepat atau quick count oleh 40 badan survei bebas yang berdaftar dengan KPU, regu Jokowi-Ma’aruf menang dengan peratusan 54 hingga 56 peratus.

Namun, Prabowo, 67, menolak hasil hitung cepat itu, sebaliknya mengisytiharkan kemenangannya berdasarkan hitung cepat yang dilakukan pihaknya.

Pemerhati dan penganalisis politik melihat Prabowo tidak konsisten dengan sikap dan penerimaannya terhadap quick count badan-badan survei bebas itu yang berdasarkan kepada quick count Pilihan Raya Gabenor Jakarta pada 2017, memenangkan gabungan Anis Baswedan dan Sandiaga Uno daripada Parti Gerindra iaitu parti Prabowo, mengatasi pasangan Basuki Tjahaja Purnama (Ahok)-Djarot Saiful Hidayat.

“Prabowo menerima hasil quick account itu (Pilihan Raya Gabenor Jakarta 2017) dan kami juga langsung menerima,” kata jurucakap Tim Kempen Jokowi-Ma’aruf, Arya Sinulingga.

Penganalisis politik melihat tindakan Prabowo melakukan sujud syukur selepas mengisytiharkan kemenangannya itu seperti mengulangi tindakannya pada 2014,yang turut mengisytiharkan kemenangannya sebelum pengumuman KPU.

“Percaya tak lembaga (badan) survei itu? Pembohong! rakyat tidak percaya sama kalian, mungkin kalian boleh pindah ke Antartika, bisa (boleh) berbohong kepada penguin di Antartika,” Prabowo dipetik berkata ketika berucap kepada penyokongnya di kediamannya di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Berdasarkan hitung cepat oleh badan bebas itu, antaranya Penelitian dan Pengembangan (Litbang) KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, pasangan Jokowi-Ma’ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Berdasarkan Pilihan Raya Indonesia 2014, hasil hitung cepat yang dilakukan badan bebas ini ternyata hampir 99 peratus tepat.

Jokowi, 57, pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih tenang dengan tidak mahu merayakan hasil hitung cepat itu dan meminta seluruh rakyat Indonesia supaya menunggu keputusan rasmi daripada KPU.

Pada 17 April lalu, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada PEMILU 2019. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

PEMILU 2019: Tunggu keputusan rasmi KPU

JAKARTA, 18 APRIL: Keputusan rasmi pilihan raya umum Indonesia 2019 (PEMILU 2019) hanya akan diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia secara progresif mulai 25 April hingga 22 Mei 2019.

Pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 pula dijadualkan pada 20 Okt 2019.

Namun, bagi pilihan raya Presiden (Pilpres), kedua-dua penyokong kini dilihat menggunakan hasil tinjauan ‘hitung cepat’, dalam mengetahui dan merasionalisasikan kemenangan awal mereka.

Berdasarkan hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan tinjauan di Indonesia, Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk naib presiden, Ma’ruf Amin, selesa mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Sebanyak 40 badan bebas berdaftar dengan KPU, bagi melakukan hitung cepat Pilpres 2019 itu.

Hasil hitung cepat berkenaan adalah keputusan tidak rasmi, dengan badan-badan terbabit menggunakan hasil kiraan undi di pusat pengundian atau Tempat Pemungutan Suara (TPS) terpilih yang dijadikan sampel dalam proses hitung cepat itu.

Badan-badan itu menggunakan sampel hasil kiraan undi di 3,000 hingga 6,000 TPS yang dipilih mereka, berdasarkan pemilihan TPS atas kriteria tertentu.

Prabowo, 57, menolak hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan berkenaan.

“Saya hanya ingin memberikan update bahawa berdasarkan real count (pengiraan yang dilakukan pihaknya) kita sudah berada (mendahului) di posisi 62 peratus,” kata Prabowo dalam satu kenyataan hari ini.

Prabowo mendakwa hitung cepat yang dilakukan pihaknya itu melibatkan 320,000 TPS terpilih.

Menurut Ketua KPU, Arief Budiman, peratusan pengundi pada Pemilu 2019 mencapai 77.5 peratus.

Sebanyak 192,828,520 pengundi, layak mengundi pada Pemilu 2019 di lebih 780,000 TPS semalam.

Berdasarkan hasil hitung cepat oleh badan-badan bebas itu, antaranya Penelitian dan Pengembangan (Litbang) KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, pasangan Jokowi-Ma’ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Berdasarkan Pilihan Raya Indonesia 2014, hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan bebas ini ternyata hampir 99 peratus tepat.

Jokowi, 57, pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih tenang dengan tidak mahu merayakan hasil hitung cepat itu dan meminta seluruh rakyat Indonesia supaya menunggu keputusan rasmi daripada KPU.

Penganalisis dan pemerhati politik turut meminta kedua-dua penyokong agar tidak merayakan kemenangan hasil hitung cepat itu, yang dilihat boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.
-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

PEMILU 2019: Jokowi-Ma’ruf di depan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 APRIL: Gandingan Joko Widodo dan Ma’ruf Amin mengatasi Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno dalam hitung cepat Pemilihan Presiden 2019, setakat 12 tengah hari ini.

Menurut laporan kompas.com, Joko atau lebih mesra disapa Jokowi dan Ma’ruf memperolehi 54.52 peratus undi, berbanding 45.48 peratus bagi gandingan Prbowo-Sandiaga.

Semalam, rakyat Indonesia mengundi pada pilihan raya umum 2019 (PEMILU 2019), bagi memilih Presiden untuk republik itu.

Lebih 192 juta pengundi berdaftar atau tepatnya, 192,828,520 pengundi, layak untuk mengundi bagi memilih presiden Indonesia bagi tempoh 2019-2024.

Lebih 780,000 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian mula dibuka seawal 7 pagi hingga 1 tengah hari, di seluruh Indonesia.

Pada Pemilihan Presiden kali ini, Jokowi akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua dengan gandingan baharu Ma’ruf, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib presiden.

Pasangan itu ditentang bekas ketua tentera Prabowo, yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

Categories
GLOBAL

PEMILU 2019: Pengundian semula di Malaysia mungkin dijalankan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 APR: Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia menyatakan akan membuat tindakan lanjut terhadap saranan Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) supaya mengadakan pengundian semula bagi undi pos, di Malaysia.

Saranan terbabit ekoran penemuan ratusan karung beg mengandungi kertas undi yang sudah ditanda, di Kajang.

Pengerusi KPU, Arif Budiman berkata, pihaknya akan mengenal pasti bilangan pengundi yang menggunakan kaedah itu terlebih dahulu sebelum mengambil langkah susulan.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapat pengesahan daripada pengilang kertas undi, bergantung kepada jumlah kertas undi diminta dan tempoh yang diperlukan.

“Kemudian, baru KPU akan menentukan pengisihan, lipatan, pengedaran dan pengiriman melalui pos, serta tempoh pegembalian pos itu.

“Langkah itu diperlukan bagi menentukan bila pengundian semula akan dibuat,” katanya seperti dilapor BBC Indonesia.

Katanya, KPU juga akan memastikan kertas undi yang sudah ditanda di Selangor tidak dikira.

Pada masa sama, Persuruhjaya Bawaslu, Rahmad Bagja berkata, pengundian semula wajar dilakukan bagi memenuhi hak mengundi warga Indonesia, sekali gus mengekalkan integriti proses PEMILU 2019.

Pengerusi Bawaslu, Abhan pula berkata, cadangan mengadakan pengundian semula akan diselaraskan dengan KPU dan Dewan Kehormatan Penyelenggaraan Pemilihan Umum (DKPP).

Bagaimanapun, pihaknya masih melakukan penyiasatan lanjut di Malaysia.

Jika pengundian semula dibuat, kira-kira lebih 300,000 pengundi akan mengundi semula di Malaysia.

Categories
NASIONAL

PEMILU 2019: Kalimantan, Sulawesi jadi penentu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MAC: Kaji selidik dijalankan sebuah lembaga survei mendapati penyandang Presiden Indonesia, Joko Widodo dan gandingannya Ma’ruf Amin menguasai Jawa Tengah, Jawa Timur, Jogjakarta, Bali dan sebahagian Indonesia Timur.

Sementara pengundi di Kalimantan dan Sulawesi pula dijangka menjadi penentu pemenang Pemilihan Umum (PEMILU) Presiden Indonesia 2019.

“Kem Prabowo Subianto dan Sandiaga Unorabowo pula menguasai Sumatera, Jakarta serta Jawa Barat,” kata Hendri Satrio, pengasas Lembaga Survei Kelompok Diskusi Dan Kajian Opini Publik Indonesia (Kedai Kopi).

Beliau ditemui pada Siri Forum Demokarasi: Siapa Pilihan Rakyat Indonesia?: Analisis PEMILU Indonesia 2019 di Institut Darul Ehsan di sini, semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, dapatan terperinci kajian itu belum dapat didedahkan kepada umum bagi menghormati kontrak antara Kedai Kopi dengan pihak pembiaya kajian.

Hendri berkata, kajian itu juga mendapati belia lebih cenderung memilih Prabowo, sementara golongan lebih berusia dan berpendidikan rendah memilih Joko atau mesra disapa Jokowi.

“Maknanya, semakin tinggi taraf pendidikan semakin tinggi kemungkinan mereka memilih Prabowo,” katanya.

PEMILU Presiden 2019 akan dilangsungkan pada 17 April ini membabitkan 190.77 juta pemilih.

Berbanding sebelumnya, pemilihan kali ini turut dijalankan serentak pemilihan peringkat legislatif.

Categories
NASIONAL

PEMILU 2019: Indonesia buat pilihan saat akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Rakyat Indonesia cenderung membuat keputusan memilih calon Presiden di saat akhir, pada Pemilihan Umum (PEMILU) republik itu kali ini.

Mengikut kajian Lembaga Survei Kelompok Diskusi dan Kajian Opini Publik Indonesia (Kedai Kopi), sebanyak 35 peratus pemilih akan membuat keputusan bermula tempoh bertenang hingga saat akhir di bilik pengundian.

“Seperti pilihan raya Presiden Amerika sebelum ini, kajian mendapati Hillary Clinton menang tetapi apa yang berlaku, Donald Trump pula yang menang.

“Sama juga apabila kajian mendapati Joko Widodo (Jokowi) di hadapan 15 hingga 20 peratus tetapi kubu Jokowi tidak berani mengakui mereka sudah menang. Mereka terus berusaha keras meningkatkan sokongan pemilih,” kata pengasasnya, Hendri Satrio.

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokarasi: Siapa Pilihan Rakyat Indonesia?: Analisis PEMILU Indonesia 2019 di Institut Darul Ehsan di sini, hari ini.

Katanya, kajian mendapati sebanyak 18.7 peratus akan membuat keputusan pada tempoh bertenang, 15.6 peratus pada hari PEMILU dilangsungkan dan 8.7 peratus di bilik mengundi.

Katanya, sebanyak 43 peratus belum membuat pilihan bagi peringkat parlimen.

PEMILU Indonesia 2019 kali ini menyaksikan lebih banyak isu menjadi perhatian pemilih antaranya peribumi, nasional dan tolenrasi.