Categories
NASIONAL

NOW: Bubar panel khas SPRM timbul persoalan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Cadangan pembubaran Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menimbulkan pelbagai persoalan.

Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir, berkata ia termasuk siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Adakah pandangan dan pendirian PPO akan membawa sebarang makna atau perubahan dalam usaha membawa pendakwaaan terhadap Najib?

IMG_1578“Jika tidak, apakah keperluan untuk SPRM mempunyai panel khas sedangkan ia gagal bertindak sebagai ‘check and balance’.

“Adakah kuasa perlantikan anggota panel ini akan terus dikekalkan di bawah Perdana Menteri?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lantikan lapan anggota panel PPO akan berakhir hari ini dengan pendirian PPO untuk mengenakan dakwaan terhadap Najib masih kekal.

Selain PPO, SPRM mempunyai panel khas lain termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Akmal berkata, kelewatan dan kegagalan menyelesaikan kes 1MDB hanya akan mendedahkan lebih banyak kelemahan Akta SPRM 2009 serta membantutkan usaha melawan rasuah.

“Jika Perdana Menteri memilih membubarkan PPO yang mempunyai hak mengemukakan pandangan berkenaan kes di mana tiada pendakwaan terhadap tertuduh daripada pendakwa raya, maka usaha penjenamaan semula SPRM sejak 2009 adalah sia-sia.

“Beliau sendiri boleh dianggap tidak lagi mempercayai peranan SPRM,” katanya.

-AA-