Categories
SELANGOR

Rozana sekeluarga cekal, anggap Yahya ‘pergi haji’

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APR: Menyedari laluan berliku terpaksa ditempuhi mana-mana pejuang keadilan, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri terlebih dahulu menyiapkan isteri dan anak-anaknya dengan semangat kental berhadapan setiap cabaran getir.

Persediaan ini dapat dilihat apabila isterinya, Rozana Zainal Abidin, 49 dan empat anaknya mampu mengharungi cabaran kehidupan dengan tenang dan tabah walaupun tanpa kehadiran tunggak keluarga di sisi mereka.

Bagaimanapun, Rozana pada mulanya agak sebak memberitahu, cabaran kuat pada masa ini, adalah perasaan rindu mereka sekeluarga terhadap Mohd Yahya selepas dijatuhi hukuman penjara pada 4 Mac lalu.

Penyelaras DUN Permatang, Rozana“Setakat sebulan ini tiada cabaran terlalu besar sebab sebelum ini pun dia banyak masa dengan aktiviti politik. Memang faham dengan kerja dia dan disebabkan itu kami hanya menganggap dia pergi bercuti atau ke Mekah.

“Saya dan anak-anak memang bertekad nak tunjukkan kepada dia apakah kejayaan dah dicapai apabila dia keluar kerana bagi dia penting sekali adalah kejayaan anak-anak.

“Setiap bulan kami akan menziarahi dia dengan bekal iaitu sesuatu pencapaian baru untuk ditunjukkan kepada dia walaupun kecil tetapi setiap pencapaian itu menggembirakan dia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kali pertama beliau berpeluang melawat Mohd Yahya di Penjara Kajang pada Isnin baru-baru ini mendapati, Mohd Yahya tetap bersemangat berbakti kepada masyarakat di sekelilingnya.

“Dia sihat dan nampak tetap bersemangat sama seperti dia di luar. Dia cerita macam-macam dia nak buat seperti adakan perpustakaan mini di penjara bagi menggalakkan banduan menambah pelbagai ilmu pengetahuan. Pada masa ini dia juga jadi imam,” katanya.

Yahya SahriBagaimanapun jelasnya, mereka sekeluarga turut mengalami nasib sama seperti Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat bersentuhan atau bersalaman dengan ahli keluarga yang datang melawat.

Rozana berkata, sejak ketiadaan Mohd Yahya, rumahnya tidak lengang dari dikunjungi pelbagai pihak khususnya pemimpin KEADILAN termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Rafizi Ramli, M. Manivanan dan lain-lain.

Terdahulu, Mohd Yahya diperintah mahkamah rayuan supaya menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan.

-nR-