Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan individu tidak dedah lokasi jumpa beruang kepada umum dipuji

SHAH ALAM, 22 JULAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memuji tindakan individu yang merakam video seekor beruang matahari berkeliaran di sebuah lokasi berdekatan jalan raya di Sungai Panjang, Sabak Bernam, dekat sini, tanpa mendedahkan secara spesifik lokasi haiwan ditemui itu kepada umum.

Pengarahnya Haidar Khan Mokbolhasan berkata tindakan tidak mendedahkan lokasi beruang berkenaan dapat mengelakkan kawasan tersebut menjadi tumpuan pemburu haram yang boleh mengancam kehidupan haiwan yang dilindungi itu.

“Pihak Perhilitan ingin berterima kasih kepada mereka yang berkenaan kerana tidak mendedahkan lokasi sebenar penemuan beruang tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas penularan sebuah rakaman video berdurasi 48 saat di Facebook yang memaparkan seekor beruang matahari berkeliaran di sebuah lokasi berdekatan jalan raya di sekitar Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Menurut beliau kawasan tersebut merupakan habitat haiwan berkenaan namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beruang tersebut yang keluar dari hutan berdekatan.

“Hidupan liar tersebut merupakan antara yang dilindungi sepenuhnya (di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010), jadi (Perhilitan) memohon semua pihak bersama-sama dalam memelihara haiwan berkenaan,” katanya.

Haidar Khan turut menasihati orang awam yang terserempak dengan mana-mana hidupan liar di kawasan jalan raya untuk membiarkan haiwan itu melintas jalan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka tanpa mengganggu haiwan tersebut.

Katanya pengguna jalan raya juga diminta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kemalangan terutamanya di kawasan yang menjadi tempat laluan hidupan liar.

Beliau memaklumkan sebanyak enam ekor hidupan liar pelbagai spesies mati disebabkan kemalangan jalan raya sekitar Jalan Sungai Panjang sejak 2016 hingga tahun lepas, namun tiada sebarang kematian direkodkan pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kelibat buaya: Perhilitan Selangor pantau Sungai Renggam

SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memantau kawasan sekitar kunci air Sungai Renggam di Seksyen 17 di sini susulan menerima aduan daripada orang awam yang ternampak kelibat seekor buaya.

Pengarah Perhilitan Selangor, Haidar Khan Mokbolhassan berkata, aduan berkenaan diterima secara rasmi menerusi talian ‘hotline’ jabatan itu sekitar pukul 2 petang ini namun gambar kelibat buaya berkenaan tular di media sosial komuniti setempat sejak dua hari lepas.

“Kami sentiasa menyemak aduan orang ramai sama ada melalui media sosial atau aduan rasmi. Sejak gambar kelibat reptilia berkenaan dikatakan diambil di kunci air Sungai Renggam di sini tular, kami telah pergi memantau kawasan tersebut beberapa kali.

“Bagaimanapun, tiada kelibat haiwan itu ditemukan pasukan kami. Buat masa ini, saya tidak boleh mengesahkan memang ada buaya atau tidak di kawasan tersebut dan orang ramai di sekitarnya tidak perlu gusar. Kami juga sedang menyiasat sama ada benarkah gambar buaya itu diambil di Sungai Renggam,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Namun katanya, disebabkan keadaan air Sungai Renggam yang meningkat sejak tiga hari lepas susulan hujan lebat, beliau tidak menolak kemungkinan ada buaya melolos masuk dan keluar di sungai tersebut apabila pintu kunci air itu dibuka.

Tambah Haidar Khan, Sungai Renggam merupakan jajaran anak sungai kepada Sungai Klang yang dipisahkan melalui kunci air tersebut dan tidak mustahil untuk buaya berada di kawasan itu memandangkan Sungai Klang diakui sebagai habitat kepada reptilia berkenaan.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk ‘memanaskan’ badan namun tiada keperluan untuk memasang perangkap di sungai berkenaan.

“Kami akan terus pantau lokasi ini demi keselamatan orang ramai dan juga kebajikan haiwan itu sendiri. Jika didapati buaya itu mengancam nyawa manusia, kita akan pasang perangkap, tapi jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap kerana sungai memang habitat semulajadi reptilia itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tapir Malaysia lahir anak di Jepun

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sepasang tapir dari Malaysia yang ditempatkan di sebuah zoo di Nagasaki, Jepun sejak tahun lalu berjaya melahirkan seekor anak, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abdul Rahim Othman berkata, spesies Malayan Tapir itu dipinjamkan kepada zoo berkenaan bagi membiak hidupan terbabit.

Katanya, tapir berkenaan pada mulanya ditempatkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun sebagai pusat pembiakan dan rawatan sebelum dilepaskan ke habitat asal.

“Di pusat ini kita berjaya membiak 12 ekor tapir dan menerima lebih seratus kes konflik selain merawat tapir tercedera,” katanya lapor Sinar Harian.

Katanya, sehingga kini terdapat 10 ekor tapir di pusat yang sedang dinaik taraf, sementara tujuh lagi ditempatkan di kandang kurungan di Sungai Tengi.