Categories
SELANGOR

Imigresen tahan 141 pendatang tanpa izin di PKPD Hentian Kajang

KAJANG, 24 NOV:  Enam kanak-kanak adalah antara 141 pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Hentian Kajang, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen Mohamad Fauzi Md Isa berkata dalam operasi selama empat jam bermula pukul 8 pagi itu, pendatang haram yang ditahan berusia antara setahun hingga 50 tahun yang terdiri daripada 77 lelaki, 58 wanita dan bakinya adalah kanak-kanak.

“Seramai 65 warga Indonesia; 59 Myanmar; sembilan Nepal serta lapan warganegara lain ditahan dalam operasi di PKPD Hentian Kajang yang akan berakhir tengah malam ini.

“Seramai 2,600 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 1,900 adalah warga asing,” katanya ketika ditemui di lokasi PKPD Hentian Kajang hari ini.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih.

PKPD Hentian Kajang dilaksanakan pada 28 Okt hingga 10 Nov dan tempoh itu dilanjutkan 14 hari lagi bermula 11 Nov dan dijadual berakhir tengah malam ini.

–  BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Hentian Kajang, Medan 88 tamat seperti dijadual – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 23 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Plaza Hentian Kajang dan Medan 88 Bandar Baru Baru Salak Tinggi, Sepang tamat seperti dijadualkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD Plaza Hentian Kajang ditamatkan esok selepas mendapat nasihat sidang khas hari ini.

“Sidang khas hari ini juga setuju menamatkan PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dijadualkan pada 25 November.

Suasana di sekitar Plaza Hentian Kajang kelihatan lengang berikutan arahan PKPD berkuatkuasa semalam sehingga 10 November ketika tinjauan pada 28 Okt 2020. Foto BERNAMA

“Bagaimanapun kedua-dua kawasan yang ditamatkan PKPD masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negeri Selangor,” katanya dalam sidang media hari ini.

PKPD Hentian Kajang dikuatkuasakan pada 28 Oktober hingga 10 November dan dilanjutkan lagi sehingga esok (24 November) berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

 

Categories
SELANGOR

PKPD Medan 88: 53 positif wabak, kontak rapat diminta buat saringan

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 53 individu di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang disahkan positif Covid-19 setakat semalam.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata mereka adalah antara 526 penduduk yang disaring selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini kita dapati masih terdapat segelintir individu yang belum disaring. Kita minta juga mereka yang ada kontak rapat dengan penduduk di sini agar bagi kerjasama tampil buat saringan,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi.

Bagaimanapun, menurutnya pihak polis akan mengesan individu tersebut menerusi MySejahtera atau rekod daftar di premis yang mereka kunjungi.

“Saringan ini juga bagi memudahkan pihak berkuasa mengetahui punca jangkitan selain mengelak penyakit itu dijangkiti daripada satu tempat ke satu tempat,” katanya.

PKPD melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk berkenaan dikuatkuasakan pada 11 November dan dijadual berkahir Rabu ini.

Categories
SELANGOR

PKPD Medan 88: 525 disaring, individu positif wabak kekal 51

SHAH ALAM, 20 NOV: Seramai 525 individu di kawasan Medan 88 Bandar Salak Tinggi, Sepang menjalani ujian saringan Covid-19 setakat pagi tadi.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata jumlah individu yang positif kekal 51 seperti semalam.

“Bagaimanapun, diminta agar lebih ramai beri kerjasama dan tampil membuat saringan sebagai usaha kita mencegah penularan wabak Covid-19.

“Orang ramai juga dinasihatkan terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

 

Categories
SELANGOR

PKPD: 24 pekerja tinggal di luar Medan 88 hadir ujian saringan Covid-19

SEPANG, 19 NOV: Seramai 24 pekerja yang tinggal di luar Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenal pasti untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mereka adalah antara 120 pekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan.

Sejak 11 November seramai 423 penduduk Medan 88 sudah menjalani saringan Covid-19 dan tujuh didapati positif sejak pelaksanaan PKPD menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang dijangkiti wabak itu adalah seramai 51 orang termasuk 44 kes positif yang dikesan sebelum PKPD, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata setakat semalam, tiada pertambahan jumlah penduduk yang pulang ke kediaman mereka dan tampil menyerah diri di kawasan yang dikenakan PKPD.

Katanya jumlah penduduk yang menyerah diri sehingga kini kekal melibatkan 14 rakyat Malaysia terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dan 26 warga asing iaitu 18 lelaki dan lapan wanita.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD yang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 November.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKPD Medan 88: 502 disaring, 51 positif Covid-19

SHAH ALAM, 19 NOV: Bilangan individu positif Covid-19 di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kini 51 kes.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata jumlah itu bertambah berbanding semalam, 44 kes.

Menurut Mohamad Zain A Hamid pertambahan itu susulan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Walaupun jumlah mereka yang dijangkiti wabak ini sentiasa ada setiap hari, orang ramai diminta bertenang dan sentiasa patuhi tatacara operasi piawai (SOP)

“Setakat pagi ini seramai 502 penduduk dan pekerja sekitar kawasan yang dikenakan PKPD telah disaring. Hasil daripada saringan itu, 51 individu positif wabak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Mohamad Zain meminta penduduk atau pekerja sekitar Medan 88 yang belum jalani saringan diminta beri kerjasama tampil segera melakukan saringan.

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

Categories
SELANGOR

PKPD Medan 88: 40 penduduk serah diri setakat Selasa

SEPANG, 18 NOV: Seramai 40 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata statistik sehingga semalam itu melibatkan 14 rakyat Malaysia terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dan 26 warga asing iaitu 18 lelaki dan lapan wanita.

Wan Kamarul Azran berkata 26 warganegara asing itu membabitkan Indonesia (12 lelaki dan empat wanita), Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu melibatkan India, Myanmar dan Nepal yang kesemuanya lelaki.

Penghuni dan pekerja di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Nov sehingga 25 November depan dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19 ketika tinjauan hari ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata seramai 346 penduduk Medan 88 sudah menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu 44 orang disahkan positif sebelum PKPD dilaksanakan dan empat didapati positif selepas pelaksanaan PKPD.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang positif dari Medan 88 ialah 48 orang.

Kata Wan Kamarul Azran, jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 kini ialah seramai 383 orang, manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan ini ialah 50 orang.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD yang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 November ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Medan 88: 423 disaring, 48 individu positif Covid-19

SHAH ALAM, 18 NOV: Seramai 423 penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjalani ujian saringan Covid-19 setakat pagi ini.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata daripada jumlah tersebut, seramai 48 individu positif Covid-19.

“Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sebagai usaha mencegah penularan wabak.

“Kita turut memantau tahap kesihatan mental penduduk dari semasa ke semasa selain memberi jaminan bekalan makanan cukup sepanjang tempoh PKPD,” kata Mohamad Zain A Hamid kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut meminta mereka yang bekerja di Medan 88 tetapi tinggal di luar kawasan tersebut tampil melakukan saringan.

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

Categories
SELANGOR

PKPD Medan 88: 13 penghuni kembali ke rumah, sedia disaring

SHAH ALAM, 13 NOV: Penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikesan meninggalkan kediaman pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula pulang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata pihaknya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang akan mengatur masa sesuai untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas mereka.

“Seramai 13 daripada 400 penghuni  sudah pulang. Mungkin mereka menerima maklumat daripada orang luar atau membaca laporan berita bahawa pihak kami dan polis sedang mengesan mereka.

“Tarikh saringan akan diputuskan melalui perbincangan bersama PKD Sepang petang ini,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi.

Mohamad Zain juga percaya baki penghuni yang gagal menjalani saringan Covid-19 akan pulang ke rumah secara berperingkat dalam masa beberapa hari lagi.

“Kita masih menunggu kepulangan mereka tetapi berdasarkan perkembangan malam tadi, saya yakin proses saringan melibatkan kesemua penduduk di kawasan berkenaan akan segera selesai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zain berkata bekalan makanan kering dan basah kepada penduduk terjejas di kawasan terbabit sudah diagihkan sejak hari pertama penguatkuasaan bergantung pada permohonan.

“Mereka boleh menghubungi bilik gerakan pengurusan bencana di talian 019-9976657 yang beroperasi 24 jam,” katanya lagi.

PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 November membabitkan 284 premis serta 800 penduduk.

Categories
SELANGOR

Penduduk Medan 88 perlu tampil jalani saringan Covid-19

PUTRAJAYA, 12 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), untuk tampil menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata saringan perlu dilakukan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, saringan Covid-19 terhadap penduduk di Medan 88 ini dilakukan secara percuma, dengan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh KKM.

“Saringan Covid-19 adalah percuma, jika mereka buat di luar sudah tentu mereka perlu bayar RM300, jadi kita minta mereka semua tampil untuk buat saringan,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya kebanyakkan penduduk yang lari dari kawasan Medan 88 itu merupakan pendatang tanpa izin.

“Yang lari itu adalah pendatang tanpa izin, kerana mereka bimbang apabila saringan Covid-19 selesai dilakukan, mereka akan dibawa Depoh Tahanan Imigresen,” katanya dan menambah, usaha menjejak kesemua penduduk yang melarikan diri sedang giat dilakukan oleh pihak berwajib.

Hari ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, Selangor, tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang media berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan untuk menahan penghuni yang melarikan diri berkenaan.

Ditanya mengenai kriteria penutupan satu-satu kawasan, Dr Noor Hisham berkata apabila lokaliti dikenal pasti, KKM akan buat penilaian risiko dan sekiranya ada keperluan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) Secara Pentadbiran, akan dilaksanakan.

“Sekiranya kawasan itu banyak (jangkitan Covid-19), kita akan nasihatkan untuk TEMCO dilaksanakan dan operasi nyah kuman akan dilakukan di kawasan tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: PDRM kesan 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa mulai semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan (mengesan penduduk) telah dipersetujui dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara untuk PDRM berbuat sedemikian.

Beliau berkata PDRM akan menahan mana-mana penduduk yang lari dari kawasan itu seperti yang pernah dilaksanakan kepada penduduk Selangor Mansion, di sini, yang dikenakan PKPD pada April lepas.

“Sewaktu kawasan Selangor Mansion dikenakan PKPD, ramai pekerja asing melarikan diri dan kita dapat tangkap mereka satu persatu.

“Arahan menangkap mereka juga telah dikeluarkan dan kali ini lebih mudah sebab ada majikan-majikan yang bersubahat membawa mereka lari menaiki bas (dari kawasan PKPD Medan 88),” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata tindakan berkenaan bukan sahaja kepada pekerja asing, malah juga akan menahan majikan yang bersubahat membawa pekerja mereka melarikan diri.

“Ini kerana tindakan mereka boleh membahayakan nyawa orang lain dan menyusahkan pihak berkuasa untuk mengesan mereka,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Pengerusinya Mohamad Zain A. Hamid berkata perkara itu dimaklumkan kepada jawatankuasa itu oleh rakan serumah atau keluarga penghuni yang tidak pulang ke rumah, sebaik mengetahui kawasan itu akan dikenakan PKPD.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata majikan boleh mengemukakan permohonan untuk membawa pembantu rumah warga asing mereka yang terkandas, untuk masuk semula ke negara ini namun kelulusannya tertakluk kepada Jabatan Imigresen.

“Kebenaran hanya diberi kepada individu yang mempunyai kes-kes kecemasan seperti perlu menjaga ibu bapa yang uzur atau mempunyai anak Orang Kurang Upaya, yang sebelum ini dijaga oleh pembantu rumah.

“Individu yang tidak mempunyai masa boleh diberi kelonggaran untuk memohon untuk berbuat demikian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi beri kerjasama baik

SEPANG, 11 NOV: Penghuni di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19.

Tinjauan Bernama mendapati seawal pukul 8 pagi penduduk sudah mula mendaftarkan diri secara berkumpulan untuk menjalani ujian wabak berkenaan, dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah menyediakan dua stesen untuk menyaring kira-kira 800 penduduk di kawasan itu.

Seorang petugas kesihatan yang ditemui Bernama, Dr M. Vikneswari berkata setiap stesen menempatkan enam kaunter pendaftaran dan pada satu-satu masa dua penduduk akan menjalani ujian calitan.

“Di kaunter pendaftaran, kami akan menemu ramah penduduk untuk mendapatkan maklumat asas seperti pekerjaan, tempat yang mereka pergi, dengan siapa mereka berhubung, dan semua penduduk memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata ada juga petugas-petugas kesihatan yang berpakaian lengkap set peralatan perlindungan diri (PPE) mengunjungi dari satu rumah kedai ke rumah kedai yang lain, mengetuk pintu rumah penduduk dan meminta mereka menjalani saringan, kerana menurutnya ia bagi memastikan penduduk tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai di stesen-stesen yang disediakan.

Di samping itu, pengumuman melalui pembesar suara dibuat dari dalam kenderaan hebahan Jabatan Penerangan pada setiap 10 minit, meminta penduduk tampil untuk membuat saringan.

Kedai-kedai yang menjual keperluan harian seperti 7Eleven serta restoran KFC dilihat beroperasi seperti biasa di sini, dan tinjauan Bernama mendapati laluan keluar dan masuk ke kawasan berkeluasan 2.64 hektar itu dikawal ketat oleh polis dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemasangan penghadang laluan di sekitar kawasan itu telah bermula sejak kira-kira pukul 6 petang semalam dengan laluan terlibat ditutup dengan kawat duri serta penghadang bongkah konkrit.

Pusat perniagaan Medan 88 yang menempatkan 284 premis mempunyai kira-kira 800 penduduk, dan pagi tadi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan sedikit masa untuk meninjau sekitar kawasan berkenaan.

Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PKPD di kawasan ini akan diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

– BERNAMA