Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Diperketatkan di Pasar Jalan Othman hasil cadangan Selangor

SHAH ALAM, 10 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikuat kuasa hari ini hasil cadangan awal Kerajaan Negeri tiga hari lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu dibuat melalui Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor berikutan jumlah kes yang agak tinggi di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu beliau berkata Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut melalui Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

“Kerajaan Negeri akan kekal menyelaras dan memantau pelaksanaan ini khususnya dari aspek keperluan bekalan makanan kepada lebih 2,900 penduduk yang terkesan PKPD ini.

“Kerjasama semua penduduk bagi memastikan pelaksanaan PKPD ini berjalan lancar adalah amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PKPD di Jalan Othman membabitkan tiga zon iaitu:

Zon A:
Jalan Penchala
Jalan 4/33
Jalan 4/37
Jalan 4/39
Jalan 4/41
Jalan 4/44
Jalan Terus 4/42
Jalan 4/43
Jalan 4/46
Jalan Othman 4/4D

Zon B:
Jalan 2/29
Jalan 2/29A
Jalan 2/27
Jalan 2/32
Jalan 2/25
Jalan 2/26
Jalan 2/34
Jalan 2/34A
Jalan 2/23
Jalan Dispensary 2/38
Jalan Pasar 1/21

Zon C:
Jalan Selangor
Lorong 3/57D
Lorong 3/57C
Jalan RIDA 3/56
Jalan Sentosa 3/57

Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar bantuan ke pusat operasi, elak pertindihan penerima

SHAH ALAM, 30 APRIL: Badan bukan kerajaan (NGO) atau individu persendirian yang ingin menghulurkan bantuan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disaran berbuat demikian di pusat operasi yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata langkah itu bagi memudahkan petugas hadapan mengagihkan bantuan secara sama rata kepada semua penduduk tanpa pertindihan penerima bantuan.

“Kadang-kadang pusat operasi tidak tahu mereka (penduduk) sudah menerima barangan. Mungkin NGO datang menghantar bantuan ke rumah yang sama. Jadi akhirnya mungkin ada yang tidak dapat, ada yang dapat secara berlebihan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat ini sebanyak tujuh kawasan di seluruh negara menjalani PKPD dan terbaru di Selayang Baru bermula 25 April sehingga 3 Mei.

Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan selain pelawat juga tidak dibenarkan masuk.

Categories
PBT SELANGOR

MPS bantu permudah operasi PKP diperketat di Selayang Baru

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sentiasa bersiap-sedia membantu kelancaran operasi di kawasan Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya melakukan proses nyahcemar di lokasi panas lebih awal sebelum PKPD diumumkan kerajaan.

“Pada masa sama, MPS juga akan bekerjasama dengan menyediakan kenderaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain untuk proses mengagih bekalan makanan kepada penduduk selain bantuan khemah dan air ke pondok kawalan anggota penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, kerajaan memutuskan enam zon di Selayang Baru, Gombak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD hingga 3 Mei.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berikutan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri akan membendung penularan wabak berkenaan dengan Pejabat Daerah Gombak dan MPS menjalankan pemantauan keadaan semasa terutama aspek bekalan makanan buat penduduk.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon tersebut pada kadar segera bagi tujuan mengenal pasti individu yang positif.

PKPD melibatkan enam zon iaitu:

Zon A: Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah

Zon B: Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru

Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru

Zon D: Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru

Zon E: Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru

Zon F: Blok A, B dan C, Selayang Makmur

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Selayang Baru termasuk warga asing akan disaring – MB

SELAYANG, 25 APRIL: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk warga asing akan disaring bagi mengenalpasti kes Covid-19 susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meletakkan Selayang Baru dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Setuju keputusan PKPD dilaksanakan di kawasan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, saringan akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada kadar segera.

“Langkah (PKPD) dibuat MKN itu bagi mengelak penularan wabak dan wujudnya kluster rumah kongsi.

“Pesanan saya kepada penduduk sekeliling, saya mohon maaf jika terdapat sebarang kesukaran tetapi saya kira ini perlu dilakukan demi memutuskan rantaian Covid-19.

“Mungkin ada yang kurang selesa tetapi saya dimaklumkan majlis keselamatan daerah dan semua pegawai sudah mula mengedarkan makanan mulai tengah hari tadi dan petang ini,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan PKPD di Dewan Orang Ramai Selayang Baru hari ini.

Beliau berkata warga asing yang dikenal pasti di sini berasal dari Myanmar, India, Nepal, Indonesia dan Bangladesh serta mempunyai hubungan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur selain tinggal beramai-ramai dalam sebuah rumah.

Enam zon di Selayang Baru diisytiharkan kawasan PKPD bermula hari ini sehingga 3 Mei 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambung PKPD di Selangor Mansion jika kes terus meningkat

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion jika kes Covid-19 kluster tersebut terus meningkat.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan tersebut sedang menjalani arahan PKPD sehingga 28 April ini dan memudahkan kerajaan untuk membuat kawalan.

“Sama seperti kawasan PKPD lain, perkara ini akan kita bincang (PKPD dilanjutkan), akhirnya KKM akan beri nasihat, kalau perlu sambung, kita akan umum,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan penghuni warga asing di bangunan Selangor Mansion bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Semalam, kluster Selangor Mansion mencatatkan pertambahan 22 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan yang dikenakan PKPD itu adalah sebanyak 107 kes.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan membenarkan operasi pejabat atau kios Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan urusan pengeluaran wang mereka yang tiada akses internet.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kawasan PKP Diperketatkan catat peningkatan kes baharu

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Kes positif Covid-19 di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata peningkatan itu menjadikan jumlah kumulatif di kawasan PKPD itu meningkat kepada 183 kes di kawasan tersebut.

“Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid juga mencatatkan peningkatan tujuh kes yang memyumbang kepada jumlah 145 kes positif setakat ini, lain-lain lokaliti masih sama.

“Pecahan mengikut mukim mencatatkan Ulu Benut sebanyak 160 kes, Kluang 18 kes, Machap 4 kes dan Nyiur sebanyak satu kes,” katanya dalam sidang media harian berkaitan Covid-19, di sini, hari ini.

Hulu Langat mencatatkan jumlah 387 kes positif setakat hari ini berbanding semalam sebanyak 376 kes positif.

Beliau berkata, Kampung Sungai Lui kekal sebanyak 92 kes manakala luar kawasan Kampung Sungai Lui mencatat peningkatan sebanyak 14 kes baharu.

Sementara itu, di Menara Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, seramai 2,054 orang sudah menjalani ujian saringan dan jumlah kes positif kekal 30 kes.

“Di Malayan Mansion jumlah disaring 783 (orang) setakat ini dan jumlah kes positif adalah empat kes, tiada pertambahan berbanding semalam.

“Selangor Mansion jumlah disaring adalah 898 orang dan jumlah kes positif adalah 43 kes, pertambahan sebanyak 32 kes,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua pertiga penduduk kawasan PKP Diperketatkan selesai disaring

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya melakukan saringan dan ujian terhadap dua pertiga daripada keseluruhan penduduk di tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) untuk Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tiga kawasan PKPD itu ialah Simpang Renggam, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata MOH juga dijangka mengambil masa kira-kira 10 hari untuk melakukan saringan ke atas semua penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD berkuat kuasa semalam.

“Kami menganggarkan setiap bangunan mempunyai kira-kira 2,500 penduduk untuk diuji dan disaring, jadi dua bangunan ini terdapat dalam 5,000 penduduk.

“Kami sedang melakukan saringan secara aktif dan berharap dalam masa 10 hari (kami boleh) membersihkan kawasan dan mendekontaminasikan serta mensanitasikan kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar harian kementerian mengenai Covid-19 di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada bukti kukuh yang menunjukkan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) mampu mengelakkan jangkitan Covid-19.

Buat masa ini, kajian untuk mencari vaksin Covid-19 giat dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tiada bukti yang kukuh untuk kita katakan bahawa BCG boleh mengelakkan daripada jangkitan Covid-19.

“(Tetapi) Kita harap dalam tempoh satu atau satu tahun setengah lagi (setelah kajian selesai) kita akan dapat vaksin itu di pasaran,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Diperketatkan efektif cegah Covid-19 di zon merah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kaedah lebih efektif dilaksanakan di kawasan yang diisytiharkan zon merah kes positif Covid-19 berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata bekas timbalan ketua polis negara.

Tan Sri Mohd Bakri Zinin berkata PKPD membolehkan pihak berkuasa mengawal pergerakan dengan lebih ketat selain menumpukan operasi nyahkuman di kawasan memerlukan, lapor Berita Harian.

“Pihak keselamatan dapat fokus kepada sesuatu kawasan, penugasan pengawalan yang lebih spesifik. Namun keputusan (laksana PKPD di kawasan zon merah) bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Mengulas mengenai lanjutan tempoh PKP, Mohd Bakri berkata ia bergantung kepada saranan Kementerian Kesihatan selepas membuat kajian khusus mengenai tahap risiko semasa penularan Covid-19.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 57 kematian, 2,511 kes masih dirawat, 150 kes baharu, 915 sembuh dengan jumlah keseluruhan 3,483 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

200 kotak barang basah diedar kepada penduduk Hulu Langat

SHAH ALAM, 2 APRIL: Bekalan barang basah mula diedar kepada penduduk tujuh kampung di Hulu Langat semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 200 kotak diperuntukkan untuk agihan bagi mengurangkan keresahan penduduk yang tidak dibenarkan keluar berikutan penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Keselamatan Negeri memastikan semua bekalan makanan dihantar pada hari pertama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kita tambah beberapa peruntukan seperti tuala pakai buang untuk orang tua dan kanak-kanak.

“Kita juga menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT), masjid dan surau mengumumkan sesuatu keperluan seperti kecemasan, kematian atau kebakaran,” katanya ketika diwawancara menerusi program Cendol Pak Ya anjuran Institut Darul Ehsan malam ini.

Amirudin berkata tempoh arahan sehingga 13 April hadapan boleh dipendekkan jika berlaku penurunan kes dengan syarat penduduk mematuhi arahan dan kekal berdisiplin.

PKPD bermula 30 Mac lalu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui susulan nasihat Kementerian Kesihatan yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Penduduk Sungai Lui diminta tenang, patuh arahan

SHAH ALAM, 29 MAC: Penduduk Batu 21 hingga 24 Sungai Lui Hulu Langat dinasihat kekal tenang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan mulai tengah malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof meminta penduduk patuh arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Ini sesuatu yang serius dan kalau penduduk tidak ikutinya mereka boleh dijangkit Covid-19. Penduduk yang tidak terlibat diminta supaya tidak berada berdekatan lokasi terbabit (Batu 23 Sungai Lui),” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Susulan perkembangan terbaharu itu, beliau memaklumkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua akan menghentikan bantuan bank makanan kepada penduduk yang dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Saya yakin pihak berkuasa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan bekalan mencukupi, makanan dapat diberikan kepada penduduk terjejas,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan PKPD membabitkan 3,918 penduduk di tujuh kampung sekitar kawasan itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.