Categories
SELANGOR

ANAK Bakal Lancar Sayap Wanita Disember Ini

SHAH ALAM, 12 NOV : Persatuan Anak Peroka Felda Kebangsaan (Anak) akan melancarkan sayap wanita sebagai satu lagi cabang perjuangan yang akan mengangkat isu berkaitan wanita Felda.

Perkara ini dimaklumkan Pengerusinya, Mazlan Aliman yang melihat usaha ini antara tumpuan penting kepada Anak selepas memasuki fasa kedua penubuhannya pada 4 November 2007.

Menurutnya, langkah ini diputuskan hasil rumusan yang dibuat pada Bengkel Strategi Anak yang dianjurkan di Gombak pada 9 dan 10 November.

“Bagi memberikan kehidupan yang baik kepada wanita-wanita di Felda, kita akan melancarkan sayap wanita Anak pada Disember ini sebagai satu mekanisma bagaimana peranan golongan intelek wanita yang ada di dalam dan luar Felda (dapat dikembangkan) untuk satu kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

“Selama ini peranan mereka kecil dan nampaknya diabaikan di Felda,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Mengulas mengenai penubuhan Anak yang sudah memasuki tahun keenam, Mazlan menyatakan lima tahun pertama merupakan tempoh pengenalan perjuangan Anak dan melihat sejauh mana sumbangannya kepada warga Felda.

Jelasnya, bengkel strategi yang disertai 30 pimpinan kanan Felda merumuskan empat perkara yang memberikan penumpuan kepada isu perumahan dan membela nasib generasi kedua dan ketiga Felda.

“Kita merumuskan, untuk fasa kedua ini ialah bagaimana proses hala tuju anak-anak peneroka seperti kebun-kebun peneroka, proses pengambil alihan yang membawa kepada bagaimana anak-anak peneroka boleh menyumbang kepada produktiviti daripada komoditi kelapa sawit dan getah ibu bapa mereka.

“Perkara mengenai keselesaan hidup iaitu tempat tinggal (juga dibincangkan). Masa kita perjuangkan isu perumahan, ia berjaya memberikan tekanan kepada kerajaan dengan pengumuman yang dibuat semalam (Himpunan Generasi Baru Felda),” katanya lagi.