Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PPKS bela nasib pemandu kontena

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 15 JAN: Nasib pemandu kontena di Selangor kini akan terbela selepas Persatuan Pemandu Kontena Negeri Selangor (PPKS) ditubuhkan.

Pengurus, Jaafar Yusof berkata, persatuan itu ditubuhkan pada 2012, namun masih ramai pemandu kontena yang tidak tahu fungsi sebenar ia ditubuhkan adalah untuk membela nasib mereka.

“Sejak 2000, tidak ada persatuan atau aktiviti yang dirangka khas untuk pemandu kontena dan keadaan itu menjadikan mereka seperti tidak dibela terutama jika berlaku sebarang kemalangan.

jaafar“Walaupun PPKS ditubuhkan empat tahun lalu, namun masih tiada pelaksanaan dibuat walaupun perancangan dan sesi perkenalan sudah dirangka dari semasa ke semasa. Salah satu objektif utama aktiviti pertandingan badminton hari ini adalah untuk menyampaikan maklumat kepada pemandu kontena tujuan penubuhan persatuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika Pertandingan Badminton Beregu Lelaki antara Haulier Piala YB Amirudin Shari, di TM Sport Centre, Kota Pendamar, Pelabuhan Klang, di sini, pagi tadi.

Jaafar berkata, masih ramai pemandu kontena tidak nampak kebaikan dan kegunaan persatuan itu memandangkan sudah 16 tahun tiada sebarang persatuan yang ditubuh khas untuk mereka.

“Kita mahu mereka tahu bahawa ada tempat berlindung dalam menjaga kebajikan seperti jika ada yang ditindas dan gaji rendah.

“PPKS juga merancang pelbagai program yang mengutamakan kebajikan seperti khairat kematian, insuran, pendapatan ahli dalam persatuan dan bantuan kepada waris ahli persatuan yang meninggal dunia,” katanya.

-NFN-