Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama anjur pertandingan masakan silang tradisi

SHAH ALAM, 2 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan pertandingan Memasak Silang Tradisi sempena Karnival Rasa Sayang bermula semalam sehingga 10 September ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata acara itu bertujuan memupuk semangat cintakan negara dan meraikan kepelbagaian masakan daripada masyarakat berbilang kaum.

“Banyak cara untuk menzahirkan rasa cinta pada negara. Antaranya adalah melalui masakan silang tradisi. Melalui masakan, kita juga akan mengenali adat dan budaya bangsa lain.

“Untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu memasak makanan kaum lain sebagai contoh orang Melayu membuat capati (masakan tradisi kaum India) dan sebaliknya,” kata Jamaliah Jamaluddin menerusi Facebook.

Pelbagai hadiah menarik disediakan dan pemenang akan diumumkan pada 16 September iaitu secara langsung menerusi Facebook Jamaliah Jamaluddin sempena sambutan Hari Malaysia.

Berikut cara penyertaan:

1. Peserta mestilah memasak masakan silang tradisi kaum lain. Contoh kaum Mak Cik Kiah (kaum Melayu) memasak capati (makanan tradisi kaum India).

2. Peserta perlu merakam video masakan berdurasi tidak lebih tiga minit.

3. Muat naik video cara masakan di laman sosial Facebook atau Instagram dengan menggunakan tanda pagar #BudayaKitaBersamaJamaliah, #RasaSayangBandarUtama, #pwbDUNbandarutama

4. Tag Facebook YB Jamaliah Jamaluddin dan Facebook PWB DUN Bandar Utama.

5. Penyertaan juga boleh dihantar terus ke emel rasmi [email protected] dengan menggunakan tanda pagar yang sama sebagai tajuk email anda.

6. Pastikan hantaran (post) anda ditetapkan kepada ‘umum’ supaya kami dapat melihat penyertaan anda.