Categories
SELANGOR

PEKA: Kerajaan digesa sedia peruntukan pelihara alam sekitar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 FEB: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas bagi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata usaha menjaga alam sekitar seharusnya menjadi agenda penting dalam pembangunan negara.

Katanya, sikap meminggirkan terus aspek itu akan memberi kesan buruk kepada generasi kini dan masa hadapan.

Puan-Sri-Sabrina-“Saya merayu pihak kerajaan termasuk Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi usaha memelihara hutan hujan tropika kita.

“Jika hutan ini musnah, percayalah kita tidak punya apa-apa lagi,” katanya dalam sidang media di Wisma Tanah Aina, di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Sabrina menyatakan kekesalan aspek penjagaan alam sekitar terutama hutan hujan tropika tidak mendapat tempat dalam pembentangan Belanjawan 2016.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2016, Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi menjayakan fasa kajian komprehensif pembangunan Sungai Klang selain RM40 juta bagi pembangunan Taman Rakyat.

Sabrina berkata, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai seharusnya bermula daripada hulu sungai di banjaran bagi menjamin penjagaan optimum.

“Tiada guna belanja berjuta ringgit untuk pembersihan sungai jika kawasan hulu tidak dipelihara ekoran kawasan ini paling penting dan jangan ada pembangunan di situ.

“Kerajaan Negeri juga perlu pastikan sisa pembuangan kawasan perumahan atau perindustrian tidak dibuang ke dalam sungai,” katanya.

-AA-