Categories
NASIONAL

Petisyen 25 : Tuntut penjelasan bukan tolak Azizah

SHAH ALAM, 7 OKT : Petisyen 25 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bukan untuk menolak kepimpinan Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Exco Selangor, Amirudin Shari berkata sebaliknya ia hanya menuntut penjelasan mengenai kerjasama baru bersama Pakatan Harapan.

Amiruddin Shari“Kita nak dapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara dalam pakatan pembangkang baharu.

“Isu ini penting kerana melibatkan kesepakatan parti politik dalam pembangkang untuk pilihanraya umum akan datang dan masa depan PKR itu sendiri.

“Justeru, kepimpinan parti harus membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Jadi tuntutan itu adalah supaya diadakan mesyuarat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, yang digantung keanggotaan mendakwa kononnya sekumpulan pemimpin kanan parti itu membentuk kartel bagi merancang komplot menggulingkan Azizah.

Bandrul mendakwa perkara itu disebabkan beberapa pemimpin kanan PKR rasa kurang senang dengan tindakan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan pada 22 September lalu.

Mengulas perkara itu, Amirudin yang juga merupakan Ahli MPP menyifatkan dakwaan Badrul itu sebagai satu imaginasi, lapor Utusan Malaysia.

“Mengenai undi tidak percaya dan menjatuhkan presiden PKR ini satu imaginasi oleh orang yang tidak ada kerja.

“Kita ada perbezaan pandangan, maka adalah lebih baik perbezaan itu dapat dibawa dalam satu mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian,” jelas.

Pada 5 Oktober lalu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut menafikan dakwaan perpecahan dalaman parti itu ekoran penubuhan Harapan Baru.

Mohamed Azmin turut menegaskan bahawa petisyen yang ditandatangani oleh 25 anggota pimpinan pusatnya masih boleh dibincangkan.

-NR-