Categories
AGENDA NASIONAL

Kemenangan berganda lonjak semangat Petronas Yamaha SRT

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali adalah individu paling gembira apabila pelumba pasukannya Fabio Quartararo meraih kemenangan berganda di Litar Jerez, Sepanyol pada Ahad.

Kejayaan dilakar pada Grand Prix (GP) Andalusia di litar yang sama berlangsungnya GP Sepanyol minggu lepas, pastinya menjadi pembakar semangat untuk perlumbaan seterusnya di GP Republik Czech yang berlangsung di Litar Brno, minggu depan.

“Ia satu kemenangan yang hebat buat Fabio di MotoGP. Kemenangan berturut-turut ini menjadikannya berada di tangga teratas kejuaraan. Namun, nasib tidak baik buat Franky (Franco Morbidelli) kerana saya menjangkakan boleh meraih kemenangan satu-dua buat pasukan kami.

“Kami bersimpati (dengan Morbidelli) kerana beliau berada dalam keadaan baik sepanjang minggu ini dan berhak mendapat keputusan yang baik. Bagaimanapun, ia tetap hujung minggu yang menakjubkan dengan kemenangan berturut-turut dan mengungguli kejuaraan. Kita perlu lakukannya lagi di Brno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Quartararo atau diberi gelaran ‘El Diablo’ meraih kejuaraan keduanya musim ini selepas GP Sepanyol minggu lepas, dengan mencatat 41 minit 22.666 saat, diikuti dua pelumba pasukan Monster Energy Yamaha Maverick Vinales dari Sepanyol di tempat kedua dan pelumba sensasi Valentino Rossi di tempat ketiga dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan panas terik dengan suhu 38 darjah Celcius.

Morbidelli yang bermula dari petak kesembilan bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan ketika berbaki sembilan pusingan berikutan masalah jentera yang dialaminya.

Kejayaan di GP Andalusia ini menyaksikan Quartararo mengungguli kejuaraan MotoGP dengan mengumpul 50 mata, diikuti Vinales (40 mata) manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso mewakili Ducati Team di kedudukan ketiga dengan 26 mata, selepas dua perlumbaan. Morbidelli pula di kedudukan ke-10 dengan 11 mata.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jentera baharu beri kelebihan pada Quartararo

SEPANG, 9 FEB: Penggunaan jentera baharu, Yamaha YZR-M1, menyuntik semangat tambahan kepada pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo apabila sekali lagi mendominasi hari kedua sesi ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, semalam.

Pelumba Perancis itu buat pertama kali menggunakan jentera baharu itu untuk merakamkan masa terpantas satu minit 58.572 saat (s) selepas melengkapkan 72 pusingan.

Pelumba berusia 21 tahun, yang melakukan penampilan sulung pada kelas perdana musim lalu, mencatatkan 0.069s lebih pantas daripada pelumba Pramac Racing, Jack Miller (1:58.641s) diikuti pelumba berpengalaman, Dani Pedrosa dari Red Bull KTM dengan catatan masa 1:58.662s.

Rakan sepasukan, Franco Morbidelli menamatkan ujian hari kedua dengan melakarkan masa kelima terpantas iaitu 1:58.831s, sekali gus memperbaiki masa kedua terpantas 1:58.996s yang dilakukan sebelum itu.

“Saya benar-benar positif kerana ini hanya hari pertama kami menggunakan jentera baharu ini. Saya sungguh gembira dapat menyesuaikan diri dengan jentera ini. Sukar untuk melaras jentera baharu supaya menjadi lebih bagus dalam satu hari.

“Kami harap untuk meningkatkan lagi usaha ke atas jentera ini esok (hari ini). Kami perlu memperbaiki sedikit lagi dalam aspek kelajuan kerana saya tidak berasa selesa sepenuhnya.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu.

Pada Jumaat, Quartararo mencatatkan masa terpantas 1:58.945s semasa melakukan 52 pusingan dengan jentera musim lalu.

Sesi ujian tersebut akan berakhir hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Razlan puas hati aksi Quartararo, McPhee di GP San Marino

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali memuji dua pelumbanya yang berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino and Rimini’s Coast di Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali, pada Ahad.

Pelumba Petronas Yamaha SRT MotoGP, Fabio Quartararo dari Perancis berjaya menaiki podium buat kali keempat selepas menduduki tempat kedua di belakang juara dunia MotoGP, Marc Marquez dari Repsol Team Honda, manakala penunggang Petronas Sprinta Racing Moto3, John McPhee dari Great Britain, memenangi podium ketiganya apabila menduduki tempat kedua perlumbaan.

Untuk rekod, Quartararo sebelum ini menduduki tempat kedua dalam perlumbaan GP Catalunya, dan tempat ketiga dalam GP Belanda dan GP Austria, manakala McPhee muncul juara dalam GP Perancis selain menduduki tempat ketiga di GP Austria sebelum ini.

“Keputusan Fabio dalam MotoGP dan John dalam Moto3 amat hebat, terutama bagi John yang berjaya memintas pelumba di hadapannya walaupun bermula dari grid di belakang, manakala Fabio pula cukup hebat apabila mendahului pelumba lain dalam beberapa pusingan, dan bersaing sengit dengan Marc Marquez,” menurut Razlan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, hari ini.

“Ia minggu yang hebat buat Yamaha, dan diharapkan permulaan yang baik ini akan berterusan,” kata beliau yang juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Sementara itu, Razlan berkata, beliau percaya rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun dan pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin boleh bangkit kembali daripada kegagalan di Itali.

Sasaki gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan tiga lagi pelumba lain dalam pusingan pembukaan Moto3, manakala Adam yang menggantikan Khairul Idham Pawi juga gagal menyinar apabila terlibat dengan kemalangan di pusingan kelima perlumbaan Moto2.

Kejohanan Dunia MotoGP 2019 akan diteruskan dengan perlumbaan berikutnya di GP Aragon, Sepanyol pada 20-22 September.

– BERNAMA