Categories
SELANGOR

PGA Semenyih pintas tongkang bawa 28 warga Indonesia

BANTING, 19 MEI: Sebuah tongkang yang cuba membawa 28 warga Indonesia keluar secara haram dari negara ini berjaya dipintas berhampiran Kampung Sawah, Banting dekat sini, semalam.

Tongkang itu ditahan menerusi Op Benteng Covid-19 oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, kira-kira pukul 7.30 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Zulafendy Hassan berkata kesemua 28 penumpang bot yang ditahan itu terdiri daripada 27 lelaki, dan seorang wanita yang berusia 19 hingga 38 tahun.

“Kita turut menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 33 tahun yang berperanan sebagai tekong dan awak-awak tongkang terbabit. Kita turut menahan dua lagi lelaki Indonesia yang disyaki tekong darat dalam serbuan berasingan di kawasan Kampung Sawah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulafendy berkata kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Banting dan kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anggota PGA tahan lelaki cuba beri sogokan

PASIR MAS, 20 Mei: Seorang lelaki ditahan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) selepas cuba menyogok RM1,600 kepada anggota bertugas bagi membebaskan dirinya bersama tiga lagi rakan dipercayai terbabit dalam penyeludupan kenderaan.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Ramly Pancho ketika ditemui berkata, tiga lagi individu berkenaan adalah seorang lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya berusia 30-an.

Pada awalnya kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Tanah Merah pada 6.15 pagi, 17 Mei lepas.

“Sebenarnya pihak kami mendapat maklumat mengenai penyeludupan kenderaan sebelum bertindak menyerbu rumah berkenaan.

“Ketika serbuan kami menemui beberapa buah kenderaan termasuk Toyota Lexus, Perodua MyV, Perodua Viva dan sebuah motosikal. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua kenderaan itu adalah diklon,” katanya.

Ramly berkata susulan serbuan itu seorang daripada individu berasal dari negara jiran bertindak menawarkan sogokan agar kesemua mereka dilepaskan.

Walaupun sudah tiga kali amaran disuarakan oleh anggota berpangkat Koperal yang bertugas, lelaki itu tetap berkeras mahu memberi 16 keping wang RM100 berjumlah RM1,600 kesemuanya sebagai dorongan supaya dilepaskan.

“Selepas amaran diberikan namun tidak diendahkan, anggota PGA9 telah membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan kerana cuba membuat sogokan.

“Kita menyerahkan lelaki terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan manakala tiga lagi turut ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kumpulan empat individu berkenaan terlibat dalam sindiket mengklon kenderaan dari Singapura sebelum dijual semula di sini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

PGA9 rampas haiwan seludup bernilai hampir sejuta di sempadan

PASIR MAS, 20 Mei: Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) berjaya membuat rampasan sebanyak 235 ekor lembu, kambing (46), biri-biri (38) dan empat ekor kerbau bernilai hampir RM1 juta hanya dalam tempoh 72 jam ditugaskan di sempadan Kelantan-Thailand.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Ramly Poncho berkata, kebanyakan haiwan ternakan berkenaan dirampas di kandang milik penduduk tempatan di situ selepas diseludup masuk dari negara jiran.

Beliau berkata, biasanya lembu dibawa masuk secara menyeberang sungai dan akan dibawa melalui laluan tikus ke kandang-kandang untuk disimpan.

“Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 5.45 petang semalam pasukan ini bertindak merampas sejumlah 75 ekor lembu, 46 ekor kambing, 38 ekor biri-biri serta empat ekor kerbau selepas serbuan di Kampung Tok Rusa dekat Kubang Pak Itam, di sini.

“Kita dapati kesemua haiwan berkenaan dibawa masuk secara haram malah pemilik kandang juga mengakui tiada sebarang dokumen untuk menyimpan kesemua haiwan itu,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubuk Setol, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini pasukannya turut merampas sejumlah 37 ekor lembu selepas mengekori dan menahan sebuah lori di Tok Uban, di sini, pada 17 Mei lepas.

Katanya, sebanyak 123 ekor lembu lagi berjaya dirampas di sebuah kandang berdekatan Kampung Pulau, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 18 Mei.

“Sebenarnya taktik kami adalah dengan mengarahkan anggota supaya sentiasa ‘berkeliaran’ di kawasan masing-masing dan jangan ‘tertidur’ supaya segala perkembangan di situ sentiasa dalam pengetahuan mereka.

“Kesemua anggota ini terutamanya Unit Risikan yang berpakaian awam akan selalu ada untuk memantau ‘kawasan’ masing-masing,” katanya.

Jelas Ramly, kesemua haiwan ternakan yang dirampas ini dipercayai untuk bekalan sambutan hari raya tidak lama lagi.

Katanya kesemua ternakan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA