Categories
SELANGOR

Musica Flypower cipta hatrik, juarai Yonex-FKK International Cup 2015

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 JUN: Pasukan badminton Musica Flypower dari Indonesia berjaya mengekalkan kejuaraan pada kejohanan Yonex-FKK International Cup 2015 yang berlangsung di Kelab Shah Alam, di sini, bermula 26 hingga 28 Jun lalu.

Pasukan itu menewaskan Shah Alam A 5 – 0 dalam perlawanan akhir, sekali gus mencipta hatrik apabila berjaya bergelar juara sejak 2013.

IMG_3464Ketua pasukannya, Affendi Wijaya, berkata mereka gembira dengan kejayaan itu kerana sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Pada awalnya, memang sukar kerana semua pemain mempunyai komitmen masing-masing tetapi kita berkumpul dan membulatkan tekad untuk datang dengan azam tinggi.

“Muncul juara dan mencipta hatrik bukan mudah kerana pasukan lain juga hebat dan mencabar,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagi Shah Alam A, muncul naib juara dianggap satu kejayaan kerana tahun sebelumnya hanya layak ke peringkat separuh akhir.

IMG_3353“Kita sudah mencuba sebaik mungkin dalam perlawanan akhir tetapi Musica Flypower terlalu kuat,” kata ketua pasukan, Lip Chun Sung.

Wijaya dan Chun Sung berpandangan sama iaitu kejohanan berkenaan berpotensi tinggi kerana menampilkan ramai pemain ternama dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia.

Selain piala kejuaraan, Musica Flypower meraih wang tunai RM10,000 manakala Shah Alam A memenangi pingat dan wang tunai RM5,000.

Pemenang tempat ketiga, Swan Lum Rummit, Thailand, pulang dengan pingat dan RM2,000.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Piala Yonex FKK bangun sukan badminton Selangor

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JUN: Penganjuran Piala Yonex FKK Antarabangsa 2015 diyakini mampu membantu pembangunan mampan sukan badminton Selangor secara berterusan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pertandingan yang kini memasuki tahun keempat itu melibatkan bekas pemain dan lagenda ternama.

Kejohanan badminton Foo Kok Keong (23)“Kita ada pemain dari Malaysia seperti Foo Kok Keong, Ong Ewe Hock dan Yap Kim Hock serta pemain lagenda Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia pada pertandingan yang akan berakhir 28 Jun ini.

“Pertandingan seumpama ini pasti mampu membantu membudayakan sukan dalam masyarakat Selangor,” katanya selepas merasmikan pertandingan itu di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Lima kategori dipertandingkan iaitu beregu lelaki 110 tahun dan ke atas (gabungan umur pasangan), beregu lelaki 90 tahun dan ke atas, beregu lelaki 70 tahun dan ke atas, beregu lelaki 100 tahun dan ke atas serta beregu campuran (Lelaki berumur 50 tahun ke atas dan wanita 30 tahun dan ke atas).

Amirudin berkata, Selangor sedia menyerap pemain di akademi badminton untuk menyertai pasukan negeri.

“Kita bersedia bertemu dengan pemain senior seperti Foo Kok Keong dan Ong Ewe Hock yang ada akademi sendiri. Kita optimis dapat manfaat daripada usaha mereka ini,” katanya.

-NFN-