Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Borang pencalonan PRK Parlimen Tanjung Piai laris

PONTIAN, 30 OKT: Borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai laris bak pisang goreng panas di mana sehingga 12 tengahari ini sebanyak 27 set borang sudah dijual.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Mohammad Zaidad Abu Samat berkata, kesemua borang itu dibeli oleh 10 pihak terdiri daripada parti-parti politik utama serta individu.

“Tiga daripada pihak berkenaan telah membayar deposit pilihan raya sebanyak RM10,000,” kata beliau ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama individu atau parti politik itu.

Pada 24 Oktober lepas, Mohammad Zaidad dilaporkan sebagai berkata, enam borang pencalonan telahpun dijual sejak 8 Oktober.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 2 November ini bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat sini, manakala hari pengundian telah ditetapkan pada 16 November.

Setakat ini, hanya Pakatan Harapan (PAKATAN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) telah mengumumkan calon yang bakal bertanding bagi kerusi parlimen berkenaan.

Tiga hari lepas, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon PAKATAN sementara GERAKAN semalam mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam sebagai calonnya.

Menurut Mohammad Zaidad, dari segi persiapan SPR, latihan melibatkan 992 petugas di semua 28 Pusat Mengundi (termasuk undi awal) telahpun selesai.

“Dari segi aspek keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah siap sedia, kerahan lebih 1,700 anggota. Hari ini juga ada sesi penyelarasan bersama Ketua Polis Daerah Pontian bagi PDRM mengawal pergerakan penyokong ke dewan penamaan.

“Esok juga akan ada taklimat penyelarasan bersama dengan parti yang umum untuk bertanding di Ibu Pejabat Daaerah Pontian (IPD Pontian),” katanya sambil menambah pihaknya juga dalam siap siaga dalam menghadapi kemungkinan banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PH belum bincang calon kerusi Parlimen Tanjung Piai

MUAR, 4 OKT: Pakatan Harapan (PH) belum lagi memutuskan nama calon yang akan mewakili dan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sudah ada beberapa nama yang dilihat berpotensi untuk dipilih sebagai calon kawasan parlimen itu.

“Hari ini tidak lagi (bincang senarai calon). (Tetapi) itu satu perkara yang kita selalu ambil perhatian. Kita sudah ada juga beberapa nama tetapi kita (masih) ada masa.

“Kita akan putuskan yang mana sesuai, yang popular, yang berhemah, yang berpendidikan, yang mungkin (anak) tempatan. Kita akan kemukakan kepada pimpinan PH untuk diterima dan diputuskan (kemudian),” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu, yang juga Presiden Bersatu, turut mengesahkan calon adalah daripada parti Bersatu.

“Setakat ini, kita berpegang kepada apa yang telah diputuskan berdasarkan pilihan raya umum yang lepas, kecuali ada keputusan baru yang dibuat oleh pimpinan tertinggi, kita kata kerusi ini adalah yang ditandingi Bersatu, tetapi waktu pertandingan kita tak sebut Bersatulah, ini adalah (calon) PH,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada senarai calon ada dibincang pada mesyuarat itu dan adakah calon masih lagi daripada parti Bersatu.

Menyifatkan PRK itu adalah satu persaingan yang boleh dikatakan mencabar, Muhyiddin berkata PH tidak memandang mudah PRK berkenaan kerana ia dilihat signifikan kerana menjadi perhatian bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak pandang mudah. Saya percaya pihak pembangkang pun bersedia untuk mencabar tapi ini adalah demokrasi, kita akan menghadapinya dengan penuh tabah dan kita akan hadapi realiti.

“Apapun situasinya, kita berharap pengundi yang ada di kawasan Tanjung Piai yang merangkumi lebih 52,000 akan memberikan sokongan yang padu,” katanya menambah jentera PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekali gus mencapai kejayaan dalam mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah Setiausaha Bersatu Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan kepimpinan tertinggi negeri parti komponen.

Antara yang hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Turut diputuskan pada mesyuarat itu ialah pelantikan Dr Sahruddin sebagai Pengarah Jentera PH bagi pilihan raya kecil itu.

PRK yang dijadualkan pada 16 Nov ini diadakan berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR umum tarikh PRK Tanjung Piai hari ini

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Johor hari ini.

SPR akan mengumumkan tarikh itu pada sidang akhbar tengahari ini di Menara SPR, Putrajaya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi. Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

– BERNAMA