Categories
PBT SELANGOR

Merawan ganti ‘pine’ di Bandar Country Homes

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 3 JULAI: Sekurang-kurangnya 250 spesis pokok Merawan akan ditanam menggantikan pokok pine yang ditebang oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Landskap MPS, Mokhtar Affandi Abdul Ghani berkata, penggantian pokok Merawan itu mengambil kira jenis akar yang sesuai ditanam tanpa merosakkan struktur jalan dan longkang.

“Ia mengambil kira keselamatan selepas menerima aduan awam pokok itu melebihi had usia dan berisiko tumbang terutama ketika hujan lebat.

Majlis Perbandaran Selayang“Penanaman semula pokok terbabit dijadualkan bulan ini,” katanya ketika mengulas bantahan penduduk berkenaan penebangan pokok pine di kawasan Bandar Country Homes.

Terdahulu, penduduk Bandar Country Homes, di sini, membantah tindakan MPS menebang pokok pine di kawasan itu.

Penduduk mahu pokok terbabit diselenggara bukannya dimusnahkan dalam usaha memelihara alam sekitar.

Katanya, pokok pine menjadi sebahagian daripada identiti Bandar Country Homes yang juga tarikan penduduk membeli rumah di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, mereka menunggu hampir 20 tahun untuk mendapatkan hasil pokok yang rendang dan terlindung daripada kepanasan.