Categories
NASIONAL

62 penghulu dilantik bantu selia pembangunan kampung baru Cina

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Seramai 62 Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) yang berperanan sebagai penghulu telah dilantik bagi menguruskan hal ehwal berkaitan pembangunan dan kebajikan kampung baru Cina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun jawatan PKP adalah lantikan politik, namun mereka adalah penjawat awam secara ‘contract of service’ dan perlu patuh kepada pekeliling dan dasar kerajaan.

“Dalam bahasa mudahnya mereka ini dipanggil penghulu Cina yang akan ditugaskan untuk setiap seorang menjaga tujuh hingga 10 kampung Cina dengan diberikan peruntukan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita juga menggariskan untuk mereka melaksanakan program yang berfokuskan kepada membudayakan ekonomi komuniti yang melibatkan anak muda selain program penjagaan kebersihan dan kelestarian kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perjumpaan Menteri Bersama PKP, di sini semalam.

Dalam sidang media kemudiannya, Zuraida berkata, kesemua mereka akan mengikuti kursus dua hari di pusat latihan kementerian itu di Bukit Tinggi, Pahang bagi diberi taklimat mengenai hal ehwal pengurusan dan pentadbiran.

Beliau berkata, antara perkara yang ditetapkan kementerian dalam pelantikan PKP ialah mewajibkan sebanyak 30 peratus terdiri daripada wanita, punya kelayakan akademik serta boleh berbahasa Melayu.

Antara pelantikan teramai PKP ialah di Perak (14), Johor (10), Pahang (9) dan Kedah (6) orang.

-BERNAMA