Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Diperketatkan diisytihar di Menara City One sehingga 13 April

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, mulai tengah malam ini hingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

“PKPD ini melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara terbabit.

“Menerusi langkah ini, kita dapat membendung penularan wabak Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

“Sementara Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan berkata polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

“Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-26943243/03-40267222/0133295141.

Categories
BERITA UTAMA

Polis guna dron pantau kawasan PKP Diperketatkan – KPN

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis menggerakkan unit dron pasukan itu bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.

“Ini (penggunaan dron) adalah paling selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan itu.

“Data ini juga dapat membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui, hari ini.

Jelasnya lagi, penggunaan dron juga dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.

Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Setakat ini persediaan anggota kami di sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik gerakan polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

KDNK sebenar Malaysia diunjur -3.5 peratus tahun ini – Affin Hwang Capital

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjurkan pada -3.5 peratus tahun ini, menurut Affin Hwang Capital.

Menurut bank pelaburan itu, pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia dijangka dalam lingkungan negatif bagi suku pertama dan kedua 2020 walaupun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan.

Ini berikutan permintaan domestik mengalami penguncupan mendadak manakala eksport pula lemah ekoran ketidakpastian akibat wabak Covid-19.

“Agregat sebenar permintaan domestik dijangka susut kepada 4.0 peratus bagi 2020 secara keseluruhan, berbanding 4.3 peratus pada 2019,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berdasarkan kesan negatif ke atas permintaan domestik serta gangguan rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan dan luaran Malaysia, Affin Hwang menetapkan semula unjuran pertumbuhan KDNK sebenar kepada -3.5 peratus bagi 2020, daripada jangkaan awal pada 3.3 peratus.

“Bagi permintaan domestik, dalam jangka pendek, kami yakin pertumbuhan penggunaan swasta susut ketara, terutama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April, 2020.

“Penguatkuasaan PKP, contoh kesannya adalah pembelian alat-alat elektronik terkini oleh pengguna domestik (seperti telefon pintar dan tablet) serta semua barangan isi rumah lain, barang elektrik dan pengguna, mungkin lebih rendah dan terjejas,” menurutnya.

AffinHwang berkata bagi jangka pendek hingga sederhana, pertumbuhan penggunaan swasta tidak menjadi normal memandangkan isi rumah dijangka terjejas ekoran kemungkinan kejutan sementara ke atas pendapatan mereka dan turunnya kuasa beli.

Bank pelaburan itu berkata isi rumah juga dijangka mengambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan disebabkan situasi pekerjaan tidak menentu serta terkesan dengan pertumbuhan lemah pendapatan boleh guna sebenar yang dijangkakan.

“Pendapatan mereka yang berada di kawasan luar bandar, dan terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti perladangan, mungkin terjejas jika penurunan harga harga komoditi berterusan, oleh itu sumbangan mereka kepada perbelanjaan pengguna juga turut lebih rendah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Polis tahan warga asing solat jemaah di surau

SHAH ALAM, 29 MAC: Polis menahan lapan lelaki warga asing yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila solat Zuhur berjemaah, di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata tujuh warga Indonesia serta seorang warga Myanmar itu melakukan kesalahan di Surau Qausar, Bukit Raja kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Semua suspek berusia 30 hingga 40 itu direman bermula hari ini hingga 1 April depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nurulhuda, Ops Covid-19 semalam turut menahan lapan individu lain atas kesalahan sama dan semua suspek termasuk empat warga tempatan itu ditahan bagi tindakan lanjut.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pejabat JKM daerah jadi pusat pengumpulan sumbangan

PUTRAJAYA, 28 MAC: Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah akan dijadikan pusat pengumpulan bekalan makanan yang disumbangkan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bertujuan mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Banyak NGO yang tampil ke depan dengan menghantar makanan dari rumah ke rumah dan pihak kerajaan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka.

“Walaupun begitu, bagi mengurangkan pergerakan sewaktu PKP, kita tidak boleh membenarkan mereka (NGO) keluar sewenang-wenangnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Justeru, kerajaan menasihatkan pihak NGO supaya menghantar bekalan makanan yang ingin disumbangkan ke JKM di setiap daerah.

Ismail Sabri menjelaskan bekalan makanan dan sumbangan itu pula akan diedarkan oleh pihak RELA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada golongan sasaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Degil solat Jumaat antara 400 ditahan ingkar PKP

PUTRAJAYA, 28 MAC: Hampir 400 tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam kerana ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata hasil pengawasan yang dilakukan oleh pihak keselamatan mendapati masih ada orang ramai keluar melakukan senaman dan menunaikan solat Jumaat walaupun arahan supaya mereka kekal di rumah berulang kali dikeluarkan.

“Semalam ada kes masyarakat kita termasuk yang dalam ‘gated community’, ingkar dengan berjoging beramai-ramai.

“Mereka diambil tindakan…perintah PKP menyeluruh kepada semua rakyat,” kata Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata 116 individu yang bersolat Jumaat di lima masjid berasingan itu ditahan, selain menasihatkan supaya aktiviti berjoging dihentikan serta merta.

Beliau juga berkata masih ada kemasukan warga asing melalui jalan tikus walaupun kawasan sempadan negara ditutup.

“Justeru, polis akan mengawal jalan tikus yang telah dikenal pasti itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Dakwaan konon darurat, perintah berkurung adalah palsu

PUTRAJAYA, 28 MAC: Kerajaan menepis dakwaan kononnya akan ada pengumuman berkaitan darurat atau perintah berkurung seperti disebarkan ketika ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan berita palsu itu kerana ketika ini kerajaan masih bertindak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya perintah berkurung,

“Saya akan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan diperketat apabila kita meneliti kesan dan tindakan kepada rakyat. Ini bukan perintah berkurung. Saya beri jaminan,” kata Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan dalam sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kadar pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat pada tahap 97 peratus hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,046 sekatan jalan raya diadakan dengan jumlah kenderaan diperiksa sebanyak 240, 544.

“Daripada jumlah kenderaan yang diperiksa membuktikan masih banyak kenderaan di atas jalan raya dan saya turut mendapat laporan bahawa masih berlaku kesesakan jalan raya di ibu negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, walaupun kawasan sempadan negara ditutup tetapi masih ada kemasukan warga asing melalui jalan tikus yang telah dikenal pasti dan PDRM akan mengawal lokasi berkenaan.

Mengenai PKP Diperketatkan (PKPD) yang bermula Jumaat di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor, Ismail Sabri berkata tahap pematuhan PKPD di kedua-dua kawasan berkenaan mencapai 100 peratus.

Jelas beliau, kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard baharu PKP yang lebih ketat di seluruh negara dalam sehari dua lagi.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ingkar PKP, empat individu didakwa di mahkamah Isnin ini

SEPANG, 28 MAC: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sepang pada Isnin ini kerana ingkar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kesemua suspek yang berusia antara 27 dan 36 tahun itu ditahan Rabu lalu, dalam sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Bandar Baru Salak Tinggi – Nilai.

“Pada Rabu lepas, kira-kira 8.30 malam, semasa polis bersama tentera menjalankan sekatan jalan raya OPS COVID-19, telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki berusia antara 30 dan 36 tahun.

“Seorang lagi suspek berusia 27 tahun yang menaiki motosikal jenis Suzuki Smash 115, ditahan kira-kira 8.45 malam dalam sekatan jalan raya sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap keempat-empat lelaki itu mendapati mereka tidak dapat memberi keterangan munasabah mengenai pergerakan mereka keluar dari rumah seperti arahan PKP.

Wan Kamarul Azran menasihati orang ramai supaya mematuhi pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan dan menegaskan polis sentiasa membuat pemantauan dan rondaan bagi memastikan orang ramai mengikut arahan.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Jaga aturan makan, buat aktiviti berfaedah

SHAH ALAM, 26 MAC: Masyarakat dinasihatkan menjaga kesihatan dan mengambil makanan berkhasiat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ibu bapa juga harus pandai mendidik anak-anak untuk makan mengikut masa tertentu dan tidak berlebihan terutama melibatkan makanan ringan.

“Kita juga belum pasti apa akan jadi sejurus tamat tempoh PKP ini dan adalah penting untuk menyimpan stok makanan secukupnya. Umat Islam pula digalakkan berpuasa sempena Syaaban,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata ketua keluarga perlu kreatif mengisi masa lapang dengan mengajak anak melakukan aktiviti berfaedah.

Katanya orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya PKP tamat 14 April kerana kemungkinan wabak Covid-19 itu belum berakhir.

Categories
BERITA UTAMA

Covid-19: Tun M tegur lima peratus degil langgar arahan PKP

SHAH ALAM, 26 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur baki lima peratus golongan yang masih degil melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, di negara ini.

Beliau berkata individu berkenaan mungkin terkena jangkitan wabak maut itu sekiranya masih berdegil dengan tidak mengikut peraturan.

“Kalau tidak ikut peraturan, mungkin kamu akan jadi mangsa dan dapat jangkitan dari orang lain, kemudiannya penyakit itu akan dibawa kepada keluarga sehingga mereka menerima nasib buruk akibat tingkah laku kamu.

“Oleh itu, ikutlah peraturan supaya kita dapat selamatkan diri, keluarga dan negara,” katanya menerusi siaran langsung di Instagram kendalian selebriti terkenal, Neelofar, hari ini.

Program itu mendapat tontonan lebih 11,000 pemilik akaun Instagram.

Selain Tun Mahathir, semalam Neelofar turut menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam temu bual eksklusifnya itu.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 95 peratus penduduk patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari kelapan penguatkuasaanya.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan perintah itu dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit diniaga 4.3800/3950 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini susulan langkah kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menampan impak COVID-19 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit berada di paras 4.3800/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3838/3670 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata peningkatan sentimen itu tetap ketara walaupun ekonomi Malaysia yang perlu menanggung impak susulan keputusan kerajaan melanjutkan PKP.

“Namun, dengan sokongan dasar yang mantap oleh BNM dan kerajaan, terdapat andaian bahawa ini akan membantu ekonomi pulih dengan lebih pantas.

“Malah, ia merupakan satu perkembangan dinamik di pasaran mata wang Asia berikutan pendirian pelabur yang meminati langkah tegas seperti kawalan pergerakan itu yang diharapkan dapat melenyapkan virus itu dengan lebih pantas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada Rabu, BNM mengumumkan langkah moratorium atau penangguhan automatik terhadap semua pembayaran balik pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana serta individu selama enam bulan bermula 1 April ini.

Namun, ini tidak termasuk baki terkumpul kad kredit.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.0242/0356 daripada 3.0328/0364 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1969/2164 daripada 5.2473/2530.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9545/9691 daripada 3.9334/9384 dan rendah berbanding euro kepada 4.7825/8007 daripada 4.7516/7577, sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjut PKP diharap landaikan graf Covid-19

PUTRAJAYA, 25 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini ‘melandaikan’ graf penularan wabak Covid-19 di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini berikutan jangkaan dibuat JP Morgan bahawa berlaku peningkatan kes sehingga 6,000 kes pada bulan itu.

“Kita telah laksanakan aktiviti awam serta PKP dan kita harap dapat mengesan dan pastikan kes  positif diasingkan dan diberi rawatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini akan ‘melandaikan’ graf penularan wabak COVID-19 di negara ini. INFOGRAFIK: BERNAMA

“Kita harapkan dengan tindakan kita, KKM dapat kurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata antara persediaan dilakukan ialah menyediakan 3,400 unit katil dan menyasarkan mendapatkan 300 wad unit rawatan rapi khusus bagi Covid-19 serta alat bantuan pernafasan.

“Secara keseluruhan bukan hanya 3,400 katil tapi pertambahan 5,292 katil di mana kita dapat tempatkan kes simptom tapi positif atau kes bergejala ringan tapi positif.

“Kita akan kosongkan wad untuk kes sederhana dan kes kritikal di hospital,” katanya.

-BERNAMA