Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia lancar koleksi setem Krismas edisi terhad

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pos Malaysia meraikan semangat perayaan dengan melancarkan koleksi Setem Ku edisi terhad Krismas 2020 yang boleh didapati di kedai dalam talian Pos Malaysia www.pos.com.my dan 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara mulai hari ini.

Ketua Kumpulan Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Pos Malaysia Berhad Azmil Othman Merican berkata setem edisi terhad Krismas 2020 menampilkan reka bentuk moden dengan ucapan ‘Merry Christmas’ pada setiap setem.

“Menggabung elemen klasik seperti pokok Krismas, kepingan salji, bintang dan hiasan pokok, setem itu didatangkan dalam sepuluh jenis corak dengan warna latar tradisional merah serta hijau,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata koleksi setem Krismas 2020 boleh dibeli dalam set folder terhad kepada 500 unit dan 200 lembaran setem dihasilkan untuk siri ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia di talian 03-2267 2267 sambungan 2000 atau e-mel ke [email protected] .

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siri setem ‘Makanan Kita’ sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meraikan makanan tempatan yang sering menjadi tarikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang di dalam koleksi setem khas ‘Makanan Kita’ yang bakal dikeluarkan pada 16 September ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, adalah menjadi satu kebiasaan untuk melihat semua lapisan masyarakat berkongsi cita rasa yang sama untuk menikmati makanan tempatan di kedai-kedai makan kegemaran masing-masing terutamanya kedai mamak semasa sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam.

“Bagi saya sendiri, hujung minggu merupakan masa yang amat saya nanti-nantikan kerana ia merupakan hari untuk saya menikmati makanan kegemaran saya iaitu roti canai kuah banjir dan nasi lemak bungkus daun pisang berserta minuman kegemaran saya Teh Tarik kurang manis seusai senaman pagi.

“Menyedari peri pentingnya fungsi makanan di dalam masyarakat kita, Pos Malaysia telah membuat pemilihan pelbagai makanan tempatan dengan cukup teliti dan berhati-hati untuk koleksi siri setem ini.

“Pemilihan setiap makanan di dalam siri ini adalah berdasarkan kepada populariti makanan tersebut serta cadangan dari orang awam.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, Pos Malaysia ingin mengabadikan makanan-makanan tempatan yang ‘Stamp-Worthy’ di dalam koleksi khas ini. Ini kerana, makanan dengan rakyat Malaysia adalah begitu sinonim sekali,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, koleksi siri setem Makanan Kita memaparkan illustrasi makanan tempatan yang menjadi kegemaran semua orang di seluruh Malaysia seperti nasi lemak bungkus, roti canai, mi kolok, hinava, apam balik, kuih cincin, kuih ketayap, kek lapis, teh tarik, ais krim gula apong, puding kelapa dan bubur cha-cha, di dalam tiga lembaran setem dengan nilai muka 60 sen, 80 sen dan RM1.00.

Sementara itu, pemanis mulut kegemaran rakyat Malaysia iaitu air batu campur (ABC) pula dipaparkan di atas lembaran mini unik yang akan dijual pada harga RM5.00 sekeping.

“Produk Filateli yang lain seperti Sampul Hari Pertama (FDC) dan folder boleh didapati pada 50 sen dan RM6.00 setiap satu. Edisi khas set folder lengkap Makanan Kita boleh dibeli pada harga RM67.40.

“Set lengkap folder siri setem ini didatangkan bersama dengan lembaran setem, lembaran mini bentuk khas ABC serta sampul hari pertama turut boleh dibeli menerusi www.eziemall.com atau kunjungi pejabat pos yang terpilih di seluruh negara atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur,” jelasnya.

Para pengumpul setem serta orang ramai digalakkan untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) kerana ia memberikan kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran baharu pada hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari jualan, menurut kenyataan itu.

Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara atau menerusi dalam talian di www.posonline.com.my.

Maklumat lanjut mengenai produk setem dan filateli boleh didapati dengan menghubungi Unit Setem dan Filateli di talian 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau e-melkan pertanyaan kepada [email protected].

– BERNAMA