Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Produk pelancongan Selangor jadi tumpuan penerbit filem antarabangsa

SHAH ALAM, 5 JAN: Destinasi pelancongan di Selangor sering menjadi pilihan untuk penggambaran filem dokumentari antarabangsa sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

EXCO pelancongan berkata kepelbagaian kawasan unik menarik minat pembikin filem dari Taiwan, Jepun, Korea, India, Amerika Syarikat dan Hong Kong.

“Kebanyakan syarikat perfileman swasta ini membuat penggambaran mengenai produk ekopelancongan yang terdapat di Selangor terutama Sekinchan.

“Ini merupakan petanda baik kerana secara tidak langsung mereka membantu mempromosikan destinasi pelancongan kepada orang luar,” kata Hee Loy Sian pada program bual bicara: Terbelakah Nasib Pengusaha Pelancongan anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian memberi penerangan ketika program bual bicara Terbelakah Nasib Pengusaha Pelancongan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 4 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada masa sama, beliau berharap industri pelancongan kreatif terus menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi negeri apabila sempadan negara dibuka kelak dan berharap Covid-19 segera berakhir.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata industri pelancongan negeri mampu dirancak kembali dengan mengenal pasti lokasi yang menjanjikan peluang perfileman antarabangsa kepada penggiat seni.

Badan pelancongan negeri, Tourism Selangor pula memaklumkan produk yang menjadi lokasi utama penggambaran seperti Batu Caves, Kuala Kubu Bharu, Sekinchan, Litar Antarabangsa Sepang dan Masjid Biru Shah Alam.