Categories
SELANGOR

Bandar raya mampan dan selamat perlukan peranan komuniti

OLEH: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 3 APR: Pembabitan komuniti bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemimpin masyarakat amat penting dalam pembangunan Petaling Jaya menuju bandar raya mampan dan selamat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Aziz Mohd Zain, berkata menyedari peranan penting komuniti dalam pembangunan bandar raya, pihaknya menganjurkan Program Mesra Rakyat MBPJ dalam mewujudkan hubungan akrab antara semua pihak berkaitan.

Datuk Bandar PJ“Program ini adalah anjuran pertama bagi tahun ini dan Desa Mentari dipilih berikutan jumlah kepadatan tinggi penduduk di situ.

“Penganjuran program ini menyaksikan pembabitan komuniti dalam pembangunan bandar raya dengan hubungan yang dijalin akan memudahkan segala perancangan dirangka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Mesra Rakyat MBPJ Zon 24 DUN Seri Setia di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Ahli Majlis Zon 24 MBPJ, Halimey Abu Bakar.

MESRA RAKYAT MBPJBeliau berkata, peranan masyarakat penting terutamanya membantu menyalurkan maklumat sekirannya menyedari wujud aktiviti tidak sihat seperti pembuangan sampah haram agar tindakan pantas dapat diambil.

Antara acara dijalankan ialah sukaneka, pertandingan mewarna kanak-kanak, futsal remaja, sepaktakraw, bola jaring remaja dan cabutan bertuah.

Perkhidmatan kaunter pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut disediakan termasuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi kemudahan orang ramai.

-nR-