Categories
AGENDA NASIONAL

Laluan NKVE ditutup sementara bagi kerja binaan Projek Lintasan Damansara-Shah Alam

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Laluan kedua-dua arah di KM19.65 hingga KM19.8 Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE) akan ditutup sementara bermula 22 hingga 26 Januari bagi kerja-kerja rasuk jambatan Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (DASH).

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan bermula dari jam 12.01 tengah malam hingga 5 pagi dibuat bagi menjamin keselamatan pengguna lebuh raya dalam mengelakkan sebarang kejadian luar jangka ketika kerja-kerja dijalankan.

“Pengguna Lebuhraya NKVE dari arah Klang yang menghala ke Kuala Lumpur akan melalui susur persimpangan masuk ke Kota Damansara dan membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Kota Damansara, menggunakan laluan yang dibuka sebelum melepasi plaza tol.

“Bagi pengguna Lebuhraya NKVE yang menghala ke arah Klang dari Kuala Lumpur pula akan mengambil susur persimpangan masuk ke Kota Damansara, dan seterusnya membuat pusingan ‘U’ di laluan sama sebelum Plaza Tol Kota Damansara,” menurut kenyataan itu.

Katanya pengguna dari kawasan sekitar Klang dicadangkan menggunakan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dengan melalui susur keluar ke Shah Alam, Kuala Selangor, dan Tanjung Malim, sebagai alternatif untuk menghala ke utara.

Sementara itu pengguna dari utara disarankan untuk menggunakan Lebuhraya Latar dan Lebuhraya GCE dengan melalui susur keluar ke Shah Alam, Klang dan KLIA, sebagai alternatif untuk menghala ke Klang.

Prolintas juga memaklumkan papan tanda pemberitahuan lencongan jalan akan disediakan secukupnya di laluan yang ditutup dan para pengguna dinasihati untuk mematuhi papan tanda arah dan arahan petugas trafik bagi menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

Dalam pada itu, Prolintas memberitahu sebanyak 39 rasuk jambatan akan dipasang merentasi Lebuhraya NKVE, melibatkan penggunaan dua kren seberat 200 tan yang akan diletakkan di tengah-tengah Lebuhraya NKVE tersebut.

– BERNAMA