Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Giliran Pejabat Tanah Daerah Klang tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 16 MAC: Pejabat Tanah Daerah Klang (PDTK) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komited dan sentiasa berusaha meningkatkan integriti dalam sistem penyampaian perkhidmatanya kepada masyarakat, hari ini.

IKRAR TNB KLANG (3)Pegawai Daerah Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, usaha itu untuk menzahirkan komitmen seluruh warga kerja PDTK tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur rasuah.

“Melalui penzahiran ini, ia membantu dalam mewujudkan tahap tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi.

“Ikrar ini juga sebagai satu ‘aku janji’ dalam sesebuah organisasi memerangi rasuah, di samping memberi kepercayaan kepada orang awam bahawa segala urusan kami telus dan tidak terbabit dengan sebarang jenayah rasuah, penyelewengan juga salah guna kuasa,” katanya kepada SelangorKini selepas majlis menandatangani IBR, di sini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, PDTK agensi kedua di Selangor yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha mewujudkan perkhidmatan yang adil, telus dan bebas gejala rasuah.

“Kita berharap lebih banyak agensi lain akan turut serta menandatangani ikrar ini.

“IBR juga akan membuktikan ketelusan sesebuah organisasi itu dan jika berlaku sebarang pembabitan rasuah agensi bertanggungjawab perlu melaporkan kepada SPRM,” katanya.

-NFN-