Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide sasar buka pusat dialisis di semua daerah dalam tempoh 10 tahun

SHAH ALAM, 4 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berhasrat membangunkan pusat dialisis di empat daerah lagi bagi membantu pesakit kurang berkemampuan.

Pengerusinya Dato’ Bakhtiar Hussin memaklumkan cadangan dalam tempoh 10 tahun meliputi Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

Beliau menjelaskan yayasan kini memiliki cawangan di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Taman Melawati, Kuala Selangor dan Sungai Besar yang merawat 266 pesakit.

“Yide menampung subsidi RM200,000 setahun bagi kos tambahan dialisis iaitu ujian darah dan ubat-ubatan yang disarankan pakar nefrologi.

“Turut dibantu lebihan bayaran yang tidak ditanggung penaja kepada pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya dalam kenyataan.

Yide bertanggungjawab melaksana aktiviti kebajikan seperti menyalur sumbangan kecemasan kepada mangsa ditimpa musibah dan menguruskan hal ehwal anak yatim.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide rancang bina pusat dialisis di Masjid Puncak Alam

SHAH ALAM, 11 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berhasrat membuka sebuah lagi pusat dialisis di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor.

Organisasi kebajikan bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memaklumkan penambahan itu bagi menampung keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan hemodialsis.

“Perbincangan dan lawatan tapak ke Masjid Puncak Alam telah diadakan sebelum ini bagi meninjau kemudahan sedia ada yang boleh ditambah baik untuk keselesaan pesakit.

“Pembinaan pusat dialisis ini juga diharapkan dapat membantu menampung keperluan pesakit khususnya di Puncak Alam dan kawasan berhampiran,” menurut yayasan itu di Facebook.

Pada 30 September lalu, Yide mengadakan kunjungan korporat bagi menjalinkan kerjasama dengan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bagi membina pusat dialisis baharu di Masjid Puncak Alam.

Lawatan korporat Yide yang diwakili Pengurus Operasinya Md Arifin Jaafar disambut Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Pengerusi PNHB Muhd Sukrie Mat Zin.

Sehingga kini, Yide mempunyai enam cawangan Pusat Dialisis Mais iaitu di Shah Alam, Taman Melawati, Sungai Besar, Kuala Selangor, Bukit Jelutong, dan Kapar.

Categories
SELANGOR

Gedung Penawar kendali 4 Pusat Dialisis Rakyat, bantu rakyat kurang berkemampuan

Oleh : SIRAJ ZAINI

KLANG, 24 JAN: Dengan mengamalkan konsep ‘golongan berupaya harus membantu golongan lemah’, sebuah syarikat perunding perubatan, Gedung Penawar Sdn Bhd membantu usaha kerajaan negeri dengan mengendalikan empat Pusat Dialisis Rakyat (PDR) di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Padzil Daros, berkata syarikatnya bertanggungjawab mengendalikan PDR di Ampang, Sementa, Taman Medan dan Lembah Keramat, sepanjang tiga tahun lalu.

Padzil berkata, sehingga kini PDR di Ampang mempunyai 10 mesin dialisis dan mempunyai 40 pesakit di Sementa terdapt lapan mesin (32 pesakit), manakala PDR di Taman Medan pula lapan mesin dan (24 pesakit) serta Lembah Keramat, lapan mesin (21 pesakit).

daroyahKatanya, semua pesakit yang menerima rawatan di PDR diberikan perkhidmatan secara percuma dan wujud beberapa perancangan di masa hadapan bersama kerajaan negeri untuk menambah baik perkhidmatannya.

“Saya percaya perkhidmatan yang disediakan ini mampu ditingkatkan lagi dengan sokongan kerajaan negeri yang mengamalkan konsep negeri berkebajikan dan lebih ramai pesakit akan dapat kita bantu kerana kos bagi penyakit buah pinggang ini sudah tentu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi di PDR Sementa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Gedung Penawar Sdn Bhd adalah syarikat yang berpengalaman dalam bidang perunding perubatan serta mempunyai pusat rawatan hemodialisis seluruh negara.

Sementara itu, Dr Daroyah berkata, kerajaan negeri berhasrat memperbanyakkan PDR di seluruh Selangor pada masa akan datang.

“Kita bercadang untuk mewujudkan PDR di kawasan lain kerana empat PDR sedia ada hanya berada di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Daroyah1Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa berkata, kerajaan negeri perlu meneliti terlebih dahulu bagi membuka perkhidmatan dialisis secara terbuka kepada seluruh rakyat di Selangor kerana memerlukan kos yang tinggi.

Bagi tujuan rawatan dialisis di beberapa pusat rawatan berbayar, pesakit perlu membayar antara RM110 sehingga RM300 bagi setiap kali rawatan dan mereka juga dikehendaki menjalankannya tiga kali seminggu.

-NFN-