Categories
NASIONAL SELANGOR

P.Pinang Alu Sumbangan Yayasan ECM Libra

SHAH ALAM,24 APRIL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan sumbangan Yayasan ECM Libra berhubung cadangan pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) yang dianggarkan berjumlah RM4 juta.

Pembinaan pusat pelajaran dan akedemik badminton diatas tanah seluas 2.9 ekar milik Kerajaan Negeri itu juga turut disumbangkan oleh tiga rakan kongsi Yayasan ECM Libra, Lim Kian Onn, Datuk Seri Kalimullah Hassan dan Datuk David Chua Ming Huat.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata pembinaan PLC yang lengkap dengan Sebuah perpustakaan, 7 buah kelas bahasa dan tuisyen manakala PBA akan dilengkapi dengan lapan gelanggang badminton serta sebuah kantin akan mengambil masa sekitar 18 bulan untuk siap sepenuhnya.

“Kedua-dua buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri yang juga akan menguruskan 2 bangunan tersebut apabila ia siap dibina kelak.

“Bagi PLC, antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton,”jelasnya.

Baru-baru ini, ECA International mengesahkan Georgetown sebagai bandar yang paling sesuai didiami di Malaysia, menduduki tangga ke-8 di Asia dan 73 di peringkat global.

Georgetown mendahului Kuala Lumpur buat pertama kalinya pada 2011 apabila mengekalkan kedudukannya sebagai bandaraya paling selamat didiami di Asia manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 9.

Georgetown membuktikan bahawa pencapaian ini adalah bukan suatu kebetulan tetapi suatu fakta apabila George Town mengekalkan kedudukan bandar ke – 8 paling selamat didiami di Asia pada tahun 2012, manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 10.

Guan Eng menerusi kenyataan medianya hari ini menjelaskan, atas alasan itu jugalah kepimpinannya mengambil langkah drastik memperbanyakan kemudahan rekreasi dan pembelajaran seperti ini sebagai mengekalkan status bandar yang paling selamat  didiami di Malaysia.

“Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda.

“Ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat. Kerajaan Negeri juga berharap Akademi Badminton Pulau Pinang akan melahirkan lebih ramai juara badminton dunia dari Pulau Pinang pada tahun- tahun yang akan datang,”jelasnya.